Guru sekolah di Portland mogok, sekolah tutup


Guru sekolah awam Portland melancarkan mogok pada Rabu menyebabkan semua 81 sekolah di bandar terbesar di Oregon, AS itu ditutup. – Gambar Facebook, 3 November, 2023.

GURU di sekolah awam Portland melancarkan mogok pada Rabu menyebabkan kesemua 81 sekolah di bandar terbesar di negeri Oregon, Amerika Syarikat (AS) itu ditutup, lapor Xinhua.

Mogok itu yang pertama dalam sejarah sekolah di daerah itu berlaku selepas pemimpin daerah dan kesatuan menemui jalan buntu selepas perbincangan selama 10 bulan mengenai pelbagai perkara termasuk mengenai belanjawan asas.

Mogok berlaku di kebanyakan sekolah awam di  Portland dengan kedua-dua pihak hanya akan menyambung rundingan pada Jumaat, menyebabkan sekolah terpaksa ditutup semalam.

Pemimpin kesatuan berkata guru mahukan kenaikan gaji yang besar yang selari dengan inflasi, mengehadkan jumlah pelajar dalam kelas bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan akademik dan emosi pelajar serta diberikan lebih banyak masa untuk merancang melaksanakan pelbagai arahan, menurut laporan Oregonian.

Sekolah awam di Portland berdepan penurunan bilangan pelajar disebabkan oleh kadar kelahiran yang rendah dan harga rumah yang tinggi, menurut laporan itu.

Gabenor Oregon Tina Kotek menggesa kedua-dua pihak supaya meneruskan rundingan dan tidak melancarkan mogok. – Bernama, 3 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen