BN perlu buang politik kaum untuk kekal relevan, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Prestasi pilihan raya BN pada 2023 sebagai antara yang paling teruk dalam sejarah gabungan itu dengan hanya menang 30 kerusi, dengan 26 daripadanya adalah Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

BARISAN Nasional (BN) kini berada pada tahap paling lemah dan perlu meninggalkan politik perkauman untuk kekal relevan dan mendapatkan semula sokongan menjelang ulang tahunnya yang ke-50 Jun depan, kata pemerhati.

Mereka berkata gabungan itu - yang berkurangan daripada 14 parti kepada empat sekarang selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum 2018 - kini menumpang Pakatan Harapan (PH) untuk kekal dalam koridor kuasa.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata BN perlu menganggap dirinya bernasib baik kerana masih berkuasa selepas pilihan raya umum lalu selepas bergabung dengan bekas pesaingnya, PH.

Beliau menyifatkan prestasi pilihan raya BN pada 2023 sebagai antara yang paling teruk dalam sejarah gabungan itu dengan hanya menang 30 kerusi, dengan 26 daripadanya adalah Umno.

“Selepas pilihan raya umum pada 2008, BN terus merosot sehingga tahap terendah pada 2023.

“Umno semakin lemah dalam setiap pilihan raya dan parti itu kehilangan sokongan orang Melayu. MCA dan MIC juga tidak banyak membantu gabungan itu. Mereka tidak dapat meyakinkan orang bukan Melayu,” kata pensyarah kanan itu.

Bagaimanapun, Mazlan berkata BN masih boleh kekal relevan dan terus menjadi kuasa sekiranya ia kekal dalam kerajaan perpaduan.

“Ia perlu berubah. Agenda politik yang dipegang BN sudah tidak sesuai lagi. Parti berasaskan kaum sudah lapuk.

“DAP dalam PH mendapat sokongan bukan Melayu dan beberapa segmen Melayu kerana DAP mempunyai orang Melayu sebagai wakil rakyat.

“PKR mempunyai kaum Cina dan India, tetapi MCA dan MIC tidak mewakili parti berbilang kaum.

“Umno berjaya memenangi Pelangai dalam pilihan raya kecil baru-baru ini kerana orang bukan Melayu terus menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan.

“Apa yang MCA dan MIC boleh buat? Mereka perlu merangka landskap politik baharu, mereka perlu kreatif, tidak boleh bergantung kepada kaum Cina dan India lagi. Mereka perlukan sokongan semua orang,” katanya.

Dalam kes Umno, Mazlan berkata parti Melayu itu masih mampu menarik sokongan sebilangan pengundi Melayu khususnya di kawasan luar bandar walaupun banyak tewas kepada Perikatan Nasional sejak akhir-akhir ini.

“Anda tidak boleh membandingkan Umno dengan MCA dan MIC. Umno masih menerima sokongan sebahagian pengundi Melayu dan dengan kedudukan mereka dalam kerajaan hari ini, ia boleh meningkatkan lagi sokongan memandangkan mereka menjalankan tugas dengan cara yang betul,” tambahnya.

Sependapat dengan Mazlan ialah Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre.

Pemerhati politik itu berkata BN kehilangan sebahagian besar pengaruhnya sejak pilihan raya 2008.

Beliau juga menyifatkan kawalan besar Umno dalam pakatan itu tidak membantu perjuangannya, terutamanya dengan rakan lain yang berasa tersisih.

Pada masa ini, hanya Umno yang menjadi wakil dalam kerajaan persekutuan dengan MIC, MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS) diketepikan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, MCA mencadangkan ia mungkin meninggalkan BN dan memulakan perjalanan politik secara solo. MIC juga dijangka membincangkan masa depan politiknya dalam perhimpunan tahunan akan datang.

“Hari ini anda lihat Umno berada dalam kerajaan dan itu mendorong presiden MCA berkata mereka rela bergerak solo pada masa hadapan. MCA juga nampak kecewa dengan Umno.

“Dan itu sendiri menunjukkan BN semakin lemah. Ia akan menjadi masalah besar jika mereka tidak menangani isu dalaman,” katanya.

Pada Ogos lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN perlu mengambil sikap lebih agresif dalam memulihkan keyakinan rakyat dengan cepat melalui gabungan partinya.

Mengakui BN berdepan penolakan daripada rakyat, presiden Umno itu berkata tidak mustahil BN mendapat semula kepercayaan rakyat khususnya masyarakat Melayu.

Beliau turut mengakui kerjasama dengan PH dianggap sebagai cara terbaik untuk memulihkan imej gabungan itu.

BN ditubuhkan pada 1 Januari 1973 selepas rombakan politik negara berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Bagaimanapun, ia hanya disahkan sebagai parti pada 1 Jun 1974. – 3 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen