Putrajaya jamin harga ayam tidak akan melonjak


Angie Tan

Harga jualan ayam tidak akan melonjak apabila kerajaan menarik balik kawalan harga dan subsidi kerana bekalannya banyak di pasaran, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

HARGA jualan untuk ayam tidak akan melonjak apabila berakhirnya kawalan harga dan subsidi kerajaan yang bermula semalam kerana bekalannya banyak di pasaran, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Merujuk kepada prinsip ekonomi – bekalan dan permintaan – Chan berkata harga tidak akan naik kerana bekalan cukup untuk memenuhi keperluan pengguna.

Beliau berkata sebelum menarik harga kawalan itu, harga ayam kekal sekitar RM10.40 sekilogram di kawasan pinggir bandar.

Chan berkata harga di dua rangkaian pasar raya dan pasar raya besar adalah lebih rendah daripada harga siling kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram.

“Pasar raya besar Mydin menjual ayam pada RM7.99 sekilogram, sementara Tesco Lotus menjualnya RM7.49 sekilogram.”

Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asean, sebagai pengeluar ayam, selepas Indonesia dan Thailand.

Bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan terhadap keadaan itu, Chan berkata kerajaan akan terus memantau harga dari ladang ke outlet jualan.

“Jika ada kenaikan harga akibat bekalan tidak mencukupi, kerajaan akan import ayam.”

Bagaimanapun, Chan berkata Putrajaya boleh mengembalikan kawalan harga jika manipulasi harga berlaku.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata kerajaan akan terus memantau harga ayam dari ladang ke outlet jualan selepas harga kawalan dan subsidi ditarik semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 November, 2023.

Katanya, jika kawalan harga dilaksanakan semula, ia tidak bermakna subsidi akan diberikan kembali.

Beliau berkata subsidi tidak diteruskan bagi membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukannya untuk diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Bermula 5 Februari tahun lalu hingga 30 September tahun ini, subsidi kerajaan untuk ayam dan telur berjumlah RM3.8 bilion, kata Chan.

“Selepas subsidi dihentikan, kerajaan menganggarkan dapat berjimat RM100 juta sebulan. Wang ini dapat membantu kerajaan melaksanakan pelbagai dasar kebajikan.

“Pada masa sama, wang ini dapat menyediakan dana untuk penternak ayam kecil dan sederhana, menjadikan mereka dapat menguruskan ladang yang moden, atau memberikan pinjaman mikro untuk membantu mereka meluaskan perniagaan,” katanya.

Chan berkata dengan menyokong pembangunan industri itu, negara dapat memastikan bekalan ayam sentiasa stabil kerana bahan itu adalah sumber protein paling penting untuk rakyat.

“Dengan cara ini, walaupun jika ada masalah bekalan di seluruh dunia, kita masih boleh memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi,” katanya.

Ketika mengumumkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik kawalan harga untuk ayam dan telur bagi membolehkan kuasa pasaran menentukan harga.

Bagaimanapun, pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mengekalkan subsidi dan kawalan harga untuk telur gred A, B dan C. – 2 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen