Mavcom gantung lesen MYAirline


Menurut Mavcom, keputusan itu dibuat selepas MYAirline gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung kegagalannya untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2023.

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggantung lesen perkhidmatan udara (ASL) syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas syarikat itu gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung kegagalannya untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu, kata Mavcom dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim berkata suruhanjaya itu telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober lalu, mengarahkan MYAirline untuk memberi penjelasan bertulis dalam tempoh 14 hari.

Saripuddin berkata penjelasan bertulis MYAirline diterima pada 27 Oktober.

“Setelah mengkaji penjelasan bertulis tersebut, Mavcom telah memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan oleh syarikat penerbangan tersebut tidak memuaskan.

“Mavcom juga mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun begitu ianya akan memberi kesan kepada usaha untuk memulakan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat untuk melindungi kepentingan para penumpang dan pekerja-pekerja yang terjejas disebabkan oleh penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik Covid-19.

Tambahnya, walaupun ASL MYAirline telah digantung syarikat itu masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik terhadap penumpang-penumpang yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Menurut Saripuddin lebih 117,000 penumpang dianggarkan terjejas diakibatkan oleh penggantungan operasi MYAirline, dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih daripada RM22 juta untuk penerbangan berjadual dari 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

“Pasukan petugas Mavcom telah diberi mandat untuk melihat isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya. Ini termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan. 

“Sementara itu, Mavcom akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi mencari penyelesaian buat penumpang-penumpang yang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali,” katanya. – 1 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen