Kerajaan teruskan subsidi telur buat masa ini


Angie Tan

Kerajaan memutuskan untuk terus mengawal harga jualan telur melalui pembayaran subsidi agar tidak menambah beban rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

SUBSIDI untuk telur akan diteruskan kerana bekalan masih belum stabil sepenuhnya, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Timbalan menterinya Chan Foong Hin berkata kawalan harga telur akan terus dikekalkan.

“Kos pengeluaran telur masih tinggi, jadi tiada pembatalan subsidi seperti ayam.

“Sekiranya harga diapungkan, setiap telur dijangka naik sekurang-kurangnya 10 sen, iaitu bersamaan kenaikan RM3 bagi harga sepapan telur (30 biji),” katanya.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata harga ayam boleh turun di bawah RM9.40 sekilogram walaupun selepas subsidi dan kawalan harga dihentikan mulai semalam.

Beliau berkata pemain industri memberi jaminan harga ayam kerajaan tidak akan meningkat dan bekalan mencukupi.

“Selepas melaksanakan (subsidi dan kawalan harga ayam) selama 20 bulan, kita boleh mengapungkan harga ayam.

“Industri juga memberi jaminan yang bekalan akan mencukupi, dan mereka mampu menjualnya pada kadar lebih rendah daripada harga terkawal (sebelum ini),” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu juga berkata subsidi dan kawalan harga ayam akan ditamatkan, manakala subsidi dan kawalan harga telur gred A, B dan C kekal.

Chan berkata bagi tidak menambah beban rakyat, kerajaan memutuskan untuk terus mengawal harga jualan telur melalui pembayaran subsidi.

“Apabila keadaan bertambah baik dan kestabilan dipulihkan sepenuhnya, kerajaan akan menyemak semula keputusan ini.”

Beliau berkata kementerian juga bimbang jika terus mengawal pasaran telur, ia akan menjejaskan pengeluaran petani dan pengguna tidak dapat membeli telur murah.

“KPKM sepatutnya menjaga petani dan memastikan pengeluaran mereka tidak terjejas, barulah kita boleh menjaga keterjaminan makanan.

“Tetapi kita mempunyai penduduk yang ramai, dan Malaysia adalah sebuah negara yang terbiasa dengan subsidi, jadi jika kita mahu bergerak ke arah pendekatan yang mampan, kita perlu mencapai keseimbangan antara keperluan kedua-duanya, dan ia mestilah pemulihan bertahap.”

Pengarah urusan pasar raya besar Mydin Ameer Ali Mydin mencadangkan untuk menghapuskan harga siling telur yang boleh menggalakkan pengeluaran lebih cekap dan seterusnya mencapai bekalan pasaran lebih stabil.

Chan berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, tetapi akan bermula terlebih dahulu dengan pemansuhan subsidi ayam.

“Dengan mengambil kira orang ramai, kerajaan memutuskan untuk memulakan dengan ayam (menghapuskan subsidi).” – 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen