Ukraine rayu AS tingkat bantuan ketenteraan


Akhbar Politico melaporkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine berisiko terhenti kerana kepimpinan baharu Dewan Perwakilan AS. – Gambar Facebook, 1 November, 2023.

UKRAINE merayu kepada negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan bantuan ketenteraan memandangkan minat Washington untuk membantu Kyiv dilihat semakin berkurangan selepas kegagalan serangan balas Ukraine selain konflik di Gaza.

Pegawai Ukraine dan rakan sekutu Kesatuan Eropah (EU) berusaha capai bekalan senjata baharu dan latihan, susulan bantuan ketenteraan kepada Kyiv berdepan risiko terhenti kerana kepimpinan baharu Dewan Perwakilan AS, Sputnik memetik laporan akhbar Politico.

Wakil Ukraine telah meminta untuk diadakan sesi latihan dengan pasukan Marine Corps AS, lebih banyak bekalan peluru berpandu ATACMS dan sistem pertahanan udara, semasa lawatan ke Washington pada Oktober, lapor akhbar itu.

Sementara itu, beberapa sekutu Ukraine di EU juga merancang untuk meyakinkan White House bahawa bantuan tambahan ke Kyiv akan membuka peluang pekerjaan di AS.

Serangan balas Ukraine bermula pada 4 Jun dengan Kyiv melancarkan briged yang dilatih Nato dan dilengkapi senjata Barat, termasuk kereta kebal Leopard dan Challenger.

Tiga bulan selepas serangan, Presiden Russia Vladimir Putin berkata usaha Kyiv telah gagal dan kira-kira 71,000 tentera Ukraine terkorban. – Bernama, 1 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen