1,315 individu tunjuk tingkah laku bunuh diri, kata Zaliha


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sebanyak 2,820 individu menunjukkan risiko kemurungan, bergejala keresahan (1,271 orang ) dan bergejala kemurungan serta keresahan (2,887 orang). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2023.

DIAGNOSIS Kementerian Kesihatan (KKM) melalui komponen MyMinda yang baharu dilancarkan dalam aplikasi MySejahtera pada 22 Oktober lepas mendapati 1,315 individu berumur 18 tahun dan ke atas menunjukkan tingkah laku bunuh diri.

Mendedahkan perkara itu hari ini Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sebanyak 2,820 individu pula menunjukkan risiko kemurungan, bergejala keresahan (1,271 orang ) dan bergejala kemurungan serta keresahan (2,887 orang).

MyMinda membolehkan pengguna membuat penilaian kendiri status kesihatan mental masing-masing dengan mengakses soalan yang disediakan dalam aplikasi itu.

“Daripada data itu, kita buat langkah intervensi khususnya yang terkait dengan tingkah laku bunuh diri termasuk menelefon dan cuba lakukan intervensi awal bagi mengelakkan mereka melakukan perkara yang buruk,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Minda Sihat Hidup Sejahtera di Bangi hari ini.

Dr Zaliha berkata langkah intervensi awal berkaitan aspek kesihatan mental adalah iaitu dengan mendapatkan bantuan khidmat kaunseling menerusi fasiliti kesihatan KKM atau badan bukan kerajaan.

“Saya juga minta agar orang terdekat seperti ahli keluarga kalau ternampak mereka (yang menunjukkan gejala kesihatan mental) dapatkan pertolongan segera untuk bantu mereka,” katanya.

KKM juga mengendalikan Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau talian HEAL 15555 yang dikendalikan pegawai psikologi (kaunseling) dan talian itu boleh digunakan oleh individu yang mengalami masalah kesihatan mental, tekanan, gelisah, kesedihan berpanjangan dan kemurungan. – Bernama, 1 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen