Tiada salah guna kuasa dalam siasatan kes fitnah Wan Azizah, kata polis


Pada 22 Oktober lepas, PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dalam siasatan berkaitan kenyataan berbaur fitnah terhadap isteri perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan dijalankan secara profesional berlandaskan prosedur yang ditetapkan undang-undang.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan masih di peringkat kajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut menyangkal dakwaan pihak tertentu berhubung isu kegagalan menjawab soalan pegawai penyiasat semasa rakaman percakapan diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Keengganan memberi kerjasama dilihat daripada konteks kegagalan memberi maklumat berhubung capaian kepada data berkomputer sebagaimana peruntukan Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Melalui peruntukan ini, pegawai polis yang menjalankan penggeledahan hendaklah diberi capaian kepada data komputer termasuk kata capaian, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Susulan itu, penyedia kandungan media sosial terbabit yang dikenali sebagai ‘Ratu Naga’ memberi keterangan kepada polis Khamis lepas berhubung hantaran berkenaan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata Ratu Naga tidak menjawab 33 soalan yang ditanya dan polis merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim. – Bernama, 1 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen