Bolivia putuskan hubungan diplomatik dengan Israel 


Kerajaan Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel susulan serangan ke atas Semenanjung Gaza. – Gambar EPA, 1 November, 2023.

BOLIVIA pada Selasa memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai teguran atas serangan berdarahnya di Semenanjung Gaza.

Kerajaan “membuat keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Negara Israel, sebagai penolakan dan kecaman terhadap serangan tentera Israel yang agresif dan tidak seimbang yang dilakukan di Semenanjung Gaza,” kata timbalan menteri luar negeri Freddy Mamani pada sidang akhbar.

Menteri kabinet Maria Nela Prada turut mengumumkan negara itu menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kami menuntut serangan di Semenanjung Gaza dihentikan yang setakat ini menyebabkan beribu-ribu kematian orang awam dan pemindahan paksa penduduk Palestin,” katanya pada sidang media yang sama.

Kerajaan berhaluan kiri Luis Arce adalah yang pertama di Amerika Latin memutuskan hubungan dengan Israel sejak konflik meletus dengan serangan Hamas pada 7 Oktober, yang menurut pihak berkuasa Israel membunuh lebih 1,400 orang.

Bolivia membuat pengumuman itu selepas ia memulihkan hubungan dengan Israel pada 2019, sedekad selepas mereka terputus hubungan akibat serangan sebelumnya di Semenanjung Gaza.

Beberapa pemimpin di wilayah berkenaan bersuara membantah serangan itu, yang dikatakan oleh kementerian kesihatan yang dikawal Hamas kini telah membunuh lebih 8,500 rakyat Palestin—dua pertiga daripadanya wanita dan kanak-kanak.

Keputusan Bolivia dibuat selepas Colombia menggesa duta Israel meninggalkan negara itu sebelum membalas komen dalam perbalahan diplomatik berhubung serangan berkenaan.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva turut menggesa gencatan senjata.

Beliau berkata serangan oleh Palestin terhadap Israel tidak mewajarkan pembunuhan “berjuta-juta orang tidak bersalah” di Gaza.

“Hanya kerana Hamas melakukan serangan terhadap Israel tidak bermakna Israel perlu membunuh berjuta-juta orang yang tidak bersalah,” katanya dalam ucapan langsung di media sosial. – AFP, 1 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen