PDRM setuju kerjasama dengan KPWKM tapis pengasuh, kata Nancy


Nancy Shukri berkata PDRM bersetuju bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi saringan tapisan keselamatan calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi saringan tapisan keselamatan calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh.

Menteri berkenaan Nancy Shukri berkata persetujuan itu dicapai pada pertemuannya dengan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay pada minggu lepas dalam usaha untuk mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di bawah jagaan pihak luar seperti di taska dan pusat asuhan.

“Saya memohon supaya mereka (polis) membantu melakukan tapisan kepada pengasuh ini, jadi setakat ini mereka setuju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Usaha sama Strategik@Advokasi Antigangguan Seksual bersama Express Rail Link (ERL) Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata KPWKM dan PDRM akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bagi memformalkan berhubung perkara itu.

Menurutnya proses pengambilan pengasuh perlu diperketatkan bagi menjaga kebajikan dan keselamatan kanak-kanak serta mengurangkan risiko penderaan kanak-kanak.

“Baru-baru ini (ada laporan) melibatkan bukan orang tempatan (menjadi pengasuh) dan ini menjadi cabaran, kita mahu tindakan diambil kerana mungkin orang itu datang ke mari (Malaysia) bukan untuk bertugas sebagai pengasuh kerana mereka tidak ada permit untuk bertugas sebagai pengasuh,” katanya.

Dalam pada itu Nancy berkata pihak kementerian juga akan membuat lawatan mengejut ke premis taska bagi tujuan pemantauan berkala.

Sementara itu beliau berkata Program Usaha sama Strategik @Advokasi Antigangguan Seksual merupakan kesinambungan kepada Jerayawara KASIH KPWKM @advokasi antigangguan seksual.

Katanya program itu bertujuan memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual supaya budaya menormalisasikan gangguan seksual dapat dihapuskan. – Bernama, 31 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen