Mahkamah ketepi pertuduhan terhadap 'Inspektor Sheila' kerana aibkan rakan sekerja


Mahkamah membenarkan rayuan Insp Sheila berhubung pertuduhan dihadapinya atas alasan ia tidak dibacakan terhadapnya, dan tiada pengakuan diambil di hadapan majistret. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Sheila Sharon Steven Kumar, lebih dikenali sebagai “Inspektor Sheila”, mengaibkan kehormatan seorang anggota polis.

Mahkamah hari ini membenarkan rayuan oleh Sheila atas alasan pertuduhan itu tidak dibacakan terhadapnya, dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret seperti dikehendaki oleh undang-undang.

Terdahulu, beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, atas kenyataan tidak wajarnya terhadap seorang anggota polis berpangkat lans koperal Farhan Abdul Razak di Taman Sri Gombak pada tengah hari 15 Jun.

“Rayuan dibenarkan dan DNAA yang diberikan oleh majistret pada 26 Jun diketepikan,” kata Hakim Norsharidah Awang dalam keputusan lisan ringkas hari ini, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Terdahulu, peguam Sheila, M Manoharan, berkata timbalan pendakwa raya memaklumkan Mahkamah Majistret Selayang yang Sheila, 35, diberikan DNAA kerana “masalah teknikal” dihadapi oleh pihak pendaftar mahkamah.

Manoharan berkata Mahkamah Majistret adalah salah untuk memberikan DNAA kerana tiada pertuduhan dibuat terhadap anak guamnya.

Sementara itu, di mahkamah majistret lain di Selayang, Sheila didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sama dengan sengaja mengaibkan kehormatan peguam P Taneswaran, 31.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sheila juga meminta dibicarakan berhubung ugutan jenayah terhadap orang awam M Silverkoomarie, kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak pada 15 Jun lalu.

Perbicaraan kedua-dua kes akan diadakan pada 5 dan 6 Februari. – 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen