Kerajaan hasrat buka peluang pekerjaan kepada bekas banduan


Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata bekas banduan terutama mereka yang telah selesai menjalani hukuman kecil, masih produktif untuk bekerja.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2023.

KERAJAAN berhasrat untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada bekas banduan bagi menggantikan tenaga pekerja asing di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar pada sesi soal jawab berkata ini kerana bekas banduan terutama mereka yang telah selesai menjalani hukuman kecil, masih produktif untuk bekerja.

“Kita boleh menggunakan tenaga mereka (bekas banduan) untuk menggantikan pekerja asing. Banyak usaha telah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan ia dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan banyak latihan juga diberikan.

“Ramai juga (bekas banduan) telah diberi peluang pekerjaan. Mereka yang ada di dalam penjara telah diberi latihan dan mereka yang keluar dari penjara setelah menjalani latihan juga telah ditempatkan di alam pekerjaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang untuk menjadi pemudah cara antara majikan dan pihak penjara untuk mengadakan persefahaman yang membenarkan bekas banduan menggantikan pekerja asing.

Sementara itu, menjawab soalan asal Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan jumlah pekerja asing dalam negara, Sivakumar berkata setakat 30 September lepas, unjuran jumlah keseluruhan kumpulan itu adalah seramai 2,730,153.

Beliau berkata ia merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif berjumlah 1,830,828, pekerja asing yang belum memasuki negara seramai 152,158 orang dan pendatang tanpa izin yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 seramai 747,167 orang.

“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan. Justeru, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing.

“KSM menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya. – Bernama, 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen