3 angkasawan China kembali ke Bumi selepas 5 bulan


Jing Haipeng, Zhu Yangzhu dan Gui Haichao sebelum ke stesen angkasa Tiangong China pada akhir Mei lepas. – Gambar AFP, 31 Oktober, 2023.

TIGA angkasawan China selamat kembali ke Bumi hari ini selepas lima bulan berada di pusat angkasa lepas negara itu, lapor media kerajaan.

Jing Haipeng, Zhu Yangzhu dan Gui Haichao mendarat di Dongfeng, China pada 8:11 pagi, menurut penyiar rasmi China CCTV.

Rakaman menunjukkan kapsul membawa tiga angkasawan China itu mendarat dengan payung terjun di Gurun Gobi.

“Petugas penyeliaan perubatan dan insurans yang berada di lokasi mengesahkan ketiga-tiga angkasawan berada dalam keadaan sihat.

“Misi penerbangan anak kapal Shenzhou-16 berjaya sepenuhnya,” katanya.

Jing, Zhu dan Gui mengembara ke stesen angkasa Tiangong China pada akhir Mei dan berada di angkasa lepas selama 154 hari.

Mereka menjalankan eksperimen saintifik dan pengembaraan angkasa lepas selama hampir lapan jam.

Minggu lalu krew baharu menggantikan tiga angkawasan China itu selepas misi Shenzhou-17 berlepas dari tapak pelancaran Jiuquan di barat laut negara itu.

Tang Hongbo, Tang Shengjie dan Jiang Xinlin akan menjalankan ujian sains dan muatan di angkasa lepas, menurut Agensi Angkasa negara itu.

Mereka juga akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan untuk membaiki kerosakan kecil pada stesen akibat serpihan angkasa lepas.

Beijing mempercepatkan rancangan untuk menjadi kuasa besar angkasa lepas sejak Presiden Xi Jinping memegang tampuk pemerintahan sedekad lalu.

Ekonomi kedua terbesar di dunia itu melabur berbilion dolar dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya bagi menyaingi Amerika Syarikat dan Rusia.

China juga menyasarkan untuk menghantar misi kru ke bulan menjelang 2030 dan akhirnya membina pangkalan di permukaan bulan. – AFP, 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen