Sistem bantuan Gaza gagal pada masa ini, kata PBB


Kakitangan UNRWA bertugas di taman permainan sekolah dikendalikan agensi itu yang kini ditukar menjadi tempat perlindungan untuk rakyat Palestin di Khan Yunis, semenanjung Gaza, selepas serangan 7 Oktober. – Gambar AFP, 31 Oktober, 2023.

AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengeluarkan amaran mengenai bilangan konvoi bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi untuk memenuhi “keperluan krisis kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini” di wilayah itu.

Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak mencukupi, berbanding dengan keperluan lebih dua juta penduduk Palestin yang terperangkap di Gaza, kata Ketua UNRWA Philippe Lazzarini kepada Majlis Keselamatan PBB, merujuk kepada sempadan antara Gaza dan Mesir.

Israel Zionis melancarkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas Gaza dan meranapkan ribuan bangunan, dengan menurut Kementerian Kesihatan Palestin lebih 8,000 penduduk yang kebanyakannya orang awam terkorban setakat ini.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata sejumlah 33 trak membawa air, makanan dan bekalan perubatan sudah memasuki Gaza melalui Rafah kelmarin.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

“Sistem yang disediakan untuk membenarkan bantuan masuk ke Gaza gagal, melainkan ada kemahuan politik untuk menjadikan aliran bekalan bermakna ini sepadan dengan keperluan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Lazzarini, yang menggesa Majlis Keselamatan menuntut gencatan senjata kemanusiaan dilaksana segera.

Katanya, 64 daripada rakan sekerja UNRWA turut terkorban dalam tempoh lebih tiga minggu sekali gus menjadikan ia “jumlah pekerja bantuan PBB tertinggi terkorban dalam konflik berkenaan dalam masa singkat”.

Beliau berkata seorang daripada pekerja PBB bernama Samir, isterinya dan lapan anak, dibunuh beberapa jam sebelum mesyuarat itu berlangsung.

“Rakan sekerja UNRWA adalah satu-satunya cahaya harapan untuk seluruh semenanjung Gaza, sinaran cahaya ketika manusia tenggelam dalam masa paling gelap.

“Tetapi mereka kehabisan bahan api, air, makanan dan ubat-ubatan serta tidak lama lagi akan tidak dapat beroperasi.” – AFP, 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen