Pembantu kementerian UK dipecat selepas gesa gencatan senjata Israel-Gaza


Paul Bristow dipecat daripada jawatan kerajaan United Kingdom selepas menggesa gencatan senjata di Gaza.– Gambar Youtube, 31 Oktober, 2023.

SEORANG pembantu menteri United Kingdom dipecat daripada jawatan kerajaan selepas menggesa gencatan senjata di Gaza, lapor BBC.

Downing Street berkata Paul Bristow telah membuat komen yang “tidak konsisten dengan prinsip tanggungjawab kolektif”.

Dalam surat kepada perdana menteri minggu lalu, Bristow berkata “gencatan senjata kekal” akan menyelamatkan nyawa dan membolehkan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.

Kerajaan UK menyokong “gencatan kemanusiaan” tetapi bukan gencatan senjata sepenuhnya.

Minggu lalu, Perdana menteri Rishi Sunak berkata “gencatan khusus” membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza namun menolak gesaan gencatan senjata.

Beliau turut menekankan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri. 

Bristow merupakan setiausaha sulit parlimen kepada Setiausaha Negara bagi Sains, Inovasi dan Teknologi Michelle Donelan. 

Selepas dipecat beliau berkata: “Saya benar-benar memahami keputusan PM. Dan dengan rasa kesal saya meninggalkan pekerjaan yang saya suka. 

“Tetapi saya kini boleh bercakap secara terbuka mengenai isu yang begitu diambil berat oleh ramai pengundi saya.

“Saya percaya saya boleh melakukan ini dengan lebih baik dari bangku belakang dan bukannya sebagai sebahagian daripada senarai kerajaan,” katanya kepada BBC. 

Sementara itu jurucakap Downing Street berkata Bristow diminta meletakkan jawatan dalam kerajaan susulan komen yang dibuat tidak konsisten dengan prinsip tanggungjawab kolektif. 

Tanggungjawab kolektif ialah konvensyen bahawa semua anggota kerajaan mesti menyokong dasar kerajaan secara terbuka, walaupun mereka secara peribadi tidak bersetuju dengannya. – 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen