Rakyat Gaza di ambang kebuluran


Alfian Z.M. Tahir

Jenazah seorang bayi Palestin berusia lapan bulan tiba di hospital Najjar. Rumah keluarganya di selatan semenanjung Gaza terkena bom serangan udara yang dilancarkan tentera Israel, semalam. – Gambar AFP, 31 Oktober, 2023.

RAKYAT Gaza akan kebuluran dan berdepan satu lagi krisis jika bekalan makanan tidak dibenarkan masuk ke wilayah itu, kata aktivis pro Palestin Malaysia Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ketua pegawai eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu memberitahu The Malaysian Insight seramai 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza kini berdepan kebuluran susulan Israel mengepung sepenuhnya semenanjung itu, berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober.

Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran selepas sekumpulan anggota Hamas merempuh sempadan Gaza pada 7 Oktober, menyebabkan 1,400 terbunuh, dan menahan 230 tebusan, kata pihak berkuasa Israel.

Manakala, lebih 8,000 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober akibat serangan Israel terhadap Gaza, dengan separuh daripada jumlah itu adalah kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan di wilayah Palestin yang dikawal Hamas.

Nadir yang berkahwin dengan seorang wanita Palestin dan menetap di Gaza sejak 2013, berkata penduduk Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 trak bantuan kemanusiaan dalam krisis ini.

Menurut Program Makanan Dunia (WFP), hanya 84 trak bantuan berjaya menyeberang ke Gaza melalui Rafah sejak 21 Oktober. Sempadan itu sebelum ini ditutup selepas Israel mengebomnya berulang kali.

“Penduduk Gaza kini bergantung kepada apa yang mereka boleh perolehi di kawasan mereka. Mereka tidak dapat bekalan dari luar Gaza dan kami perlukan 500 trak untuk membantu jutaan rakyat yang dibom dengan roket dan peluru berpandu setiap hari.

“Jika kita tidak dapat bekalan dalam tempoh beberapa minggu ini, kita akhirnya akan berdepan dengan satu lagi krisis kemanusiaan. Situasi di sini sangat serius dan ramai yang sangat memerlukan bantuan,” kata Nadir, 36.

WFP melaporkan sebelum 7 Oktober, hampir 500 trak yang membawa bantuan dihantar setiap hari ke penduduk semenanjung Gaza.

Bantuan itu bagaimanapun tidak termasuk petrol, yang dilarang oleh Israel. Petrol diperlukan untuk menjana elektrik di hospital, kerja pengaliran air dan pembentungan.

Ditanya berkenaan keadaan keluarganya, Nadir berkata isteri dan anaknya berlindung di rumah seorang saudara.

Katanya, kali terakhir berkomunikasi dengan isterinya adalah pada Jumaat lalu, sebelum Israel memotong telekomunikasi, termasuk internet.

“Ketika kami sedang bercakap, ia terputus dan saya tidak dapat menghubunginya semula. Tidak lama selepas itu saya dapat tahu talian komunikasi di sana dipotong.

“Sejak 7 Oktober, keluarga saya berpindah tiga kali dari satu rumah ke rumah lain. Mereka tidak boleh tinggal di satu tempat saja kerana sangat berisiko. Serangan udara boleh terkena anda bila-bila masa saja.

“Buat masa ini mereka selamat, tetapi telekomunikasi sangat terhad. Saya sangat bimbang tentang keselamatan mereka,” katanya.

Nadir kembali ke tanah air dari Gaza beberapa hari sebelum serangan itu kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara di Kuala Lumpur.

Katanya, keadaan di Gaza hanya dapat ditentukan dalam tempoh bebebera hari akan datang dan pada masa ini Israel menggiatkan lagi operasi serangannya menerusi laluan darat.

“Israel kini masuk fasa kedua, dengan serangan darat dilancarkan terhadap Hamas, hanya untuk melihat bagaimana kumpulan itu akan bertindak balas.

“Dalam fasa berikutnya mereka akan menyelamatkan semua tebusan dan menghapuskan Hamas sepenuhnya. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan melakukannya kerana mereka tidak tahu lokasi tebusan, dan Israel perlu bunuh hampir separuh populasi Palestin jika mahu mematahkan Hamas.

“Adakah mereka akan tunduk kepada tekanan antarabangsa dan melakukan gencatan senjata? Ia akan ditentukan dalam tempoh beberapa hari ini bergantung kepada kejayaan serangan darat,” katanya. – 31 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen