USAHA kerajaan untuk meluaskan akses bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara adalah langkah tepat bagi membolehkan rakyat mendapatkan bekalan ayam pada harga berpatutan.
Rata-rata pengguna turut mengharapkan harga ayam tidak mengalami kenaikan mendadak sehingga membebankan mereka, selain mahu kerajaan menguatkuasakan peraturan dan tindakan bagi menghalang peniaga daripada menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya susulan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam.
Suri rumah Asiah Jamal, 44, dari Melaka berharap kerajaan dapat menerangkan mekanisme pelaksanaan pengapungan kepada pengguna dan peniaga supaya tidak berlaku kes penjualan ayam pada harga tidak munasabah.
“Saya berharap tiada lagi berlaku bekalan tidak mencukupi atau harga naik mendadak terutama pada musim perayaan kerana ia akan membebankan rakyat terutama golongan B40,” katanya.
Pesara tentera Ismail Jusuh, 56, dari Klebang berkata kerajaan diharap dapat menggunakan peruntukan subsidi ayam bagi menambah baik kebajikan dan kemudahan kepada rakyat.
Di Terengganu, pekerja swasta Roshaniza Mohd Yusoff, 45, yang menyokong langkah diambil kerajaan mahu Jualan Rahmah diperbanyakkan sehingga kawasan pedalaman bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
Pekerja kilang di Perai, Pulau Pinang, Amizi Ahmad, 44, juga berharap jualan-jualan murah berkenaan diteruskan dengan lebih kerap bagi membolehkan pengguna berjimat selain memberi banyak pilihan.
“Saya memang pelanggan tetap jualan-jualan tersebut kerana senang dapatkan barangan keperluan. Jadi usaha kerajaan untuk sediakan bekalan ayam di situ adalah langkah terbaik bagi semua pengguna kerana sekarang ini lebih kerap ia dibuat di kawasan kami,” katanya.
Suri rumah Rushika Latiff, 38, pula berpandangan menerusi sistem apungan, ia boleh memberi penjimatan kepadanya disebabkan persaingan harga antara peniaga.
Guru di sebuah sekolah di Negeri Sembilan, Fadzylah Ismail, 42, berkata usaha kerajaan dalam mengekang ketirisan subsidi amat disokong kerana ia mampu membolehkan pelbagai inisiatif lain dilaksanakan untuk rakyat.
“Usaha kerajaan dalam mengekalkan subsidi telur juga adalah langkah membantu peniaga kecil khususnya dalam bidang masakan, pastri dan bakeri yang sememangnya banyak memerlukan penggunaan telur,” katanya.
Di Johor, pengasuh kanak-kanak Hamimah Jalil, 37, mengharapkan agar tiada peniaga mengambil kesempatan meraih keuntungan besar dengan menaikkan harga yang tidak munasabah susulan daripada langkah diumumkan kerajaan itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu hari ini berkata kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini selain bersetuju subsidi telur gred A, B, C diteruskan mengikut mekanisme sedia ada.
Selain itu, Mohamad berkata kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga berpatutan dan di bawah harga siling semasa.
Menurut Mohamad, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari 2022. – Bernama, 30 Oktober, 2023.
Komen