Lebih 3,000 kanak-kanak terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober


Serangan Israel ke atas Gazavmengorbankan lebih 7,000 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2023.

JUMLAH kanak-kanak yang dilaporkan terbunuh di Semenanjung Gaza dalam tempoh tiga minggu lalu melepasi angka tahunan kanak-kanak yang maut di zon konflik di seluruh dunia sejak 2019.

Badan amal Save the Children berkata sejak 7 Oktober, lebih 3,257 kanak-kanak Palestin dilaporkan terbunuh, termasuk sekurang-kurangnya 3,195 di Gaza manakala 33 lagi di Tebing Barat.

Selain itu, sekurang-kurangnya 6,360 kanak-kanak di Gaza cedera manakala sekurang-kurangnya 180 lagi di Tebing Barat.

Menurut laporan pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seramai 2,985 kanak-kanak terbunuh di 24 negara pada 2022, diikuti 2,515 pada 2021 manakala 2,674 lagi pada 2020 di 22 negara.

Pada 2019 seramai 4,019 kanak-kanak dilaporkan maut.

Pertubuhan bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan di laman sesawangnya berkata kanak-kanak membentuk lebih 40% daripada jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Gaza manakala 1,000 lagi kanak-kanak dilaporkan hilang.

Angka kanak-kanak yang hilang itu dipercayai lebih tinggi kerana kebanyakan mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibom tentera penceroboh. – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen