Pastikan bekalan ayam sentiasa cukup sebelum tamat subsidi, kata persatuan


Kerajaan khususnya agensi berkaitan digesa perlu sentiasa membuat pemantauan agar masalah kekurangan bekalan tidak timbul susulan penamatan subsidi ayam bermula Rabu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

PRESIDEN Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata kerajaan perlu memastikan bekalan ayam sentiasa mencukupi bagi mengelak harganya meningkat dengan mendadak berikutan penamatan subsidi ayam bermula Rabu ini.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan CFOS di lapangan, orang ramai atau pengguna akur dengan keputusan itu namun berharap kerajaan perlu sentiasa pastikan bekalan ayam mencukupi.

“Namun apa yang menjadi persoalan adalah adakah kerajaan dapat memberi jaminan bekalan ayam mencukupi kerana sekiranya bekalan ayam tidak mencukupi harga akan jauh meningkat dan ia sudah semestinya membebankan semua pihak sama ada pengguna atau peniaga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu hari ini bahawa kerajaan bersetuju pemberian subsidi ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan khususnya agensi berkaitan perlu sentiasa membuat pemantauan agar masalah kekurangan bekalan tidak timbul.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata kerajaan sepatutnya mengurangkan subsidi secara berperingkat untuk memastikan pengguna atau orang ramai tidak mengalami kesan yang mendadak.

Beliau berkata ayam dan telur adalah makanan menjadi pilihan pengguna kerana ia merupakan sumber protein tinggi yang masih murah berbanding makanan lain seperti daging lembu dan kambing, serta sayur-sayuran menggunakan sistem terapung.

“Namun ayam dan telur penting kepada golongan B40 kerana mereka tidak mampu untuk membeli makanan mahal… sekurang-kurangnya mereka boleh mendapatkan subsidi makanan berprotein tinggi seperti ayam dan telur sebagai makanan berkhasiat harian mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Sharon Tina, 37, menyatakan kebimbangan harga ayam akan meningkat jika tiada kawalan dan pada masa sama turut menyebabkan peningkatan harga produk berasaskan ayam sekali gus membebankan golongan kurang berkemampuan.

Peniaga kedai runcit Melvin Otod, 45, berkata keputusan kerajaan untuk menghentikan subsidi ayam ketika ini kurang tepat kerana rakyat masih berdepan isu kos sara hidup yang tinggi.

“Sebagai peniaga kita juga terpaksa mengikut harga ayam yang dikenakan oleh pembekal untuk mengelakkan sebarang kerugian… pembeli kebanyakan adalah golongan B40 dan sudah tentu mereka akan terbeban sekiranya harga ayam meningkat disebabkan harga terapung,” katanya. – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen