Menteri Sarawak ingatkan pengguna jangan buat pembelian panik


Pengumuman penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa Rabu ini mungkin menyebabkan harga runcit ayam meningkat di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

PENGGUNA di Sarawak dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik susulan pengumuman penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa Rabu ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Stephen Rundi Utom berkata meskipun pengumuman itu mungkin menyebabkan harga runcit ayam meningkat di negeri itu, namun pihaknya akan terus memantau situasi harga jualan ayam yang diapungkan bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Harga akan meningkat mengikut kos pengeluaran kerana kerajaan tidak lagi memberi subsidi untuk mengelakkan kerugian kepada penternak ayam dan ia akan ditentukan oleh penawaran serta permintaan. Jika harga terlalu tinggi kita boleh membukan pengimportan untuk menstabilkannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pengumuman berkenaan bagaimanapun tidak memberi kesan kepada jumlah bekalan barangan basah itu memandangkan Sarawak masih mampu menampung keperluan pengguna bagi ayam segar.

Buat masa ini, harga runcit ayam di Sarawak adalah berbeza mengikut daerah, bermula RM9.80 hingga RM13.90 sekilogram.

Tinjauan mendapati ada peniaga menyuarakan kebimbangan sekiranya harga pasaran ayam segar naik mendadak berikutan pengumuman itu, sekali gus menjejas aktiviti jualan.

Peniaga gerai nasi ayam, Senah Idris, 53, berkata penjual sepertinya mungkin akan mengalami kerugian dan tidak mendapat pulangan modal yang sepatutnya.

“Kalau harga ayam terlampau naik, kami yang meniaga ni susah, modal serta keuntungan tak setimpal, nak naikkan harga makanan pula kena melihat keadaan ekonomi semasa.

“Kalau harga ayam masih seperti sedia kala cuma berbeza setakat RM2, sebagai peniaga kita boleh lagi kekalkan harga makanan. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat perubahan harga yang ditawarkan oleh peniaga serta pembekal ayam,” katanya.

Sementara itu, Chai Ik Chung, 48, yang merupakan jurujual syarikat pembekal ayam segar tempatan berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan terbaru mengenai harga pasaran.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan pendekatan itu diambil untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, kerajaan bersetuju untuk meneruskan subsidi telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada. – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen