2 MPA kesan kapal selam di Laut China Selatan dalam proses perolahan, kata Mat Hasan


Mohamad Hasan berkata Kementerian Pertahanan kini dalam proses perolehan dua pesawat MPA dari Itali yang mempunyai keupayaan untuk mengesan keberadaan kapal selam dalam kawasan Laut China Selatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pertahanan kini dalam proses perolehan dua pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dari Itali yang mempunyai keupayaan untuk mengesan keberadaan kapal selam dalam kawasan Laut China Selatan khususnya di Wilayah Sabah.

Menteri berkenaan Mohamad Hasan berkata ia berikutan radar jarak jauh (LRR) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Tentera Laut Labuan tidak dapat mengesan kapal selam dan hanya untuk meninjau ruang udara yang kini lebih menghala perairan Laut China Selatan yang menjadi ‘sibuk’ sejak kebelakangan ini.

“Kita juga dalam proses perolehan dan diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperoleh satu lagi LRR yang kita akan letakkan di kawasan Pulau Layang-layang kerana di kawasan Labuan, ia tidak boleh nampak jauh.

“Jadi, kita perlukan satu lagi radar untuk diletakkan di Pulau Layang-layang untuk kita melihat lebih jauh lagi supaya ia dapat menjangkau di luar kawasan EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) kita,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai keupayaan LRR di Pangkalan Udara Tentera Laut Labuan.

Sementara itu Mohamad memaklumkan Radar Coastal Surveillance System (CSS) diletakkan di 13 lokasi penempatan yang meliputi persisiran Kudat sehingga ke Tawau bagi mengawasi pesisir Pantai Timur Sabah.

“Pada masa ini terdapat lapan radar yang baru sahaja selesai menjalani kerja-kerja naik taraf pada 16 September lepas yang melibatkan Radar CSS 1206. Bagaimanapun terdapat lima Radar CSS AESA SPEXER 2000 mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki.

“Kesemua peralatan Radar CSS AESA SPEXER 2000 itu ditanggalkan untuk proses pelupusan. Kementerian Pertahanan mengenal pasti keperluan bagi menutup sepenuhnya kelompongan di kawasan itu dengan melaksanakan perolehan sebanyak enam buah (5 penggantian dan 1 penambahan) radar gap filler yang baharu,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan peruntukan bagi perolehan enam radar itu adalah RM57 juta yang akan diperoleh dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen