Bersatu dapat kebenaran mahkamah cabar SPRM beku akaun 


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaunnya.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan mahkamah bersetuju dengan hujah Bersatu bahawa kes prima facie memihak kepada parti itu sebagai pemohon.

“Isu yang dibangkitkan oleh pemohon tidak remeh, menyusahkan dan permohonan itu boleh diterima oleh semakan kehakiman. Oleh itu, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon,” katanya semasa prosiding dalam talian.

Hakim itu berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) berhujah bahawa kuasa penyiasatan jenayah tidak wajar dengan bergantung kepada beberapa pihak berkuasa.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Peguam Negara menggunakan undang-undang yang didapati tidak lagi menjadi undang-undang yang baik, kata hakim.

Mahkamah menetapkan 28 November untuk pengurusan kes.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan manakala peguam Rosli Dahlan mewakili Bersatu.

Pada 29 Mei, Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bersatu mendakwa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh tersebut.

Pada 30 Mei, Ahmad Kamal membenarkan permohonan kebenaran parti itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya untuk siasatan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya Muhyiddin Yassin. – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen