POLIS London berkata lima individu didakwa semalam selepas ditahan ketika menyertai protes pro Palestin sehari sebelumnya, di mana puluhan ribu orang ramai menyertai perarakan mendesak gencatan senjata di Gaza.
Polis Metropolitan menahan sembilan individu – dua disyaki menyerang anggota polis dan tujuh atas tuduhan kesalahan mengganggu ketenteraman awam.
Dua lagi ditahan pagi semalam, disyaki mencetuskan kebencian kaum susulan insiden di Dataran Trafalgar pada petang sabtu, kata polis dalam satu kenyataan.
Antara lima yang didakwa, berumur antara 16 hingga 51 tahun, dua dituduh melakukan kesalahan perkauman termasuk mempamerkan plakad yang berunsurkan ancaman dan perkauman.
Tertuduh yang lain didakwa kerana membaling tin bir ke arah penunjuk perasaan dan melakukan serangan lisan dan fizikal terhadap anggota polis.
Kira-kira 100,000 menyertai perarakan “March for Palestine” di London kelmarin, menurut media Britain.
Ia minggu ketiga berturut-turut London mengadakan himpunan besar-besaran sebagai tanda sokongan kepada Palestin.
Penganjur berkata 500,000 peserta menyertai himpunan pada Sabtu, berbanding 300,000 pada minggu sebelumnya. – AFP, 30 Oktober, 2023.
Komen