Rakyat Filipina mengundi hari ini, pilih ketua kampung


Lebih 67 juta rakyat Filipina berdaftar untuk mengundi hari ini bagi memilih pemimpin di kampung masing-masing. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2023.

PASUKAN keselamatan dalam keadaan sangat berjaga-jaga di seluruh Filipina hari ini berikutan jutaan rakyatnya akan mengundi untuk memilih pemimpin jampung, selepas berbulan-bulan berdepan keganasan berkaitan kempen pemilihan.

Lebih 336,000 jawatan majlis perbandaran dipertandingkan dalam pilihan raya yang sekian lama tertangguh, termasuk kedudukan ketua kampung yang amat berpengaruh.

Walaupun perkampungan adalah unit kerajaan di paras paling rendah, jawatan dalam majlis perbandaran hangat dipertandingkan kerana ia biasanya digunakan oleh parti politik untuk meraih jaringan sokongan akar umbi dan membina pangkalan untuk pilihan raya umum dan tempatan.

Lebih 300,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menjaga keselamatan di stesen mengundi lebih lebih 42,000 kampung.

Pilihan raya biasanya adalah masa yang sukar di Filipina dengan kurangnya undang-undang berkenaan penggunaan senjata dan budaya politik ganas.

Menjelang hari mengundi hari ini, terdapat 30 insiden disahkan berkaitan keganasan pilihan raya, kata polis.

Data sebelum ini menunjukkan lapan terbunuh dan tujuh cedera dalam kes keganasan berkaitan pilihan raya antara 28 Ogos dan 25 Oktober.

Pada 23 Oktober, dua calon untuk ahli majlis kampung dan seorang penyokong mereka ditembak mati di Cotabato City iaitu di selatan pulau Mindanao ketika mereka sedang menggantung poster kempen, kata polis.

Di wilayah bersebelahan, Maguindanao del Norte pula, dua sekolah yang biasanya digunakan sebagai pusat mengundi, dibakar dengan sengaja pada Sabtu.

Lebih 67 juta rakyat berdaftar untuk mengundi. – AFP, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen