Penunjuk perasaan serbu lapangan terbang Russia cari Israel


Antara notis diletakkan penunjuk perasaan di lapangan terbang Dagestan, Russia, sebagai cara bantahan mereka terhadap kemasukan Israel dan Yahudi ke wilayah itu. – Gambar Facebook, 30 Oktober, 2023.

SEKUMPULAN lelaki menyerbu lapangan terbang Dagestan di Russia, mencari bangsa Yahudi dan Israel selepas khabar angin tersebar tentang pesawat tiba dari Israel.

Kekecohan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam itu berlaku ketika perang antara Israel dan Hamas tercetus di Gaza, menyebabkan Israel mendesak Russia melindungi rakyatnya.

Gabenor Dagestan berkata pihak bertanggungjawab atas insiden itu akan dikenakan tindakan.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan, dengan melaungkan “Allahuakbar” memecah masuk menerusi pintu dan sekatan, dengan ada yang hingga ke landasan, berdasarkan kepada video dimuat naik ke media sosial dan media RT dan Izvestia.

Tidak lama kemudian, agensi penerbangan Russia, Rosaviatsiya mengumumkan lapangan terbang itu ditutup bagi penerbangan masuk dan keluar.

“Situasi pada masa ini terkawal,” kata pihak berkuasa.

Kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan berkata dilaporkan ada mangsa tercedera tetapi jumlahnya tidak didedahkan.

Lewat petang semalam Rosaviatsiya mengumumkan lapangan terbang itu bebas daripada perusuh dan akan terus ditutup hingga 6 November.

Beberapa saluran Telegran tempatan menunjukkan gambar dan video kumpulan lelaki menunggu di luar lapangan terbang untuk menahan kenderaan.

Seorang penunjuk perasaan memegang plakad tertera “Pembunuh kanak-kanak tidak diterima di Dagestan”. – AFP, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen