PENDAKWA raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan berkata sekatan akses kepada bantuan kemanusiaan adalah satu perbuatan jenayah.
Beliau berkata demikian selepas melawat Rafah, Mesir iaitu sempadan ke Gaza, pintu utama bagi kemasukan bantuan kemanusiaan.
“Menghadang bekalan bantuan seperti termaktub dalam konvensyen Geneva adalah perbuatan jenayah yang berada dalam bidang kuasa mahkamah,” katanya kepada media di Kaherah.
Karim berkata beliau mahu menggariskan dengan jelas kepada Israel, perlu ada usaha tanpa berlengah lagi untuk memastikan orang ramai di wilayah Hamas di Palestin menerima makanan asas dan ubat-ubatan.
“Saya lihat dereta trak penuh dengan bekalan bantuan kemanusiaan terkandas di tempat yang tiada orang memerlukannya, tersangkut di Mesir, di Rafah.
“Bekalan ini perlu sampai kepada orang awam di Gaza tanpa dilengah-lengahkan lagi,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia bimbang ketenteraman awam akan terjejas susulan kecurian bantuan berlaku di pusat bantuan makanan yang dikendalikan agensinya untuk pelarian Palestin, UNRWA.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres keadaan semakin mendesak dengan jumlah kematian dalam perang itu meningkat dengan bekalan asas seperti makanan, air dan ubatan serta tempat perlindungan berkurangan.
Rakyat Palestin disekat dan dikepung Israel selama 16 tahun dan dalam kepungan sepenuhnya sejak tiga minggu lalu berikutan kebangkitan Hamas menyerang Israel menyebabkan 1,400 terbunuh.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan balas Israel dengan bom bertubi-tubi menyebabkan lebih 8,000 rakyat Palestin terbunuh, dengan kebanyakannya adalah orang awam dan separuh daripadanya kanak-kanak. – AFP, 30 Oktober, 2023.
Komen