Pendirian pro-Palestin Malaysia sudah lama diketahui, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukanlah pemimpin pertama Malaysia yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

SOKONGAN Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada Hamas dan sokongan berterusan terhadap nasib rakyat Palestin tidak akan menjejaskan usaha negara untuk mendapat pelaburan asing pada masa depan, kata pemerhati.

Mereka berhujah pendirian Malaysia dalam konflik Timur Tengah diketahui banyak negara Barat dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukanlah pemimpin pertama yang menyatakan sokongan kepada Palestin.

Mereka berkata demikian ketika ditanya sama ada sokongan vokal Malaysia terhadap Hamas dan Palestin dalam konflik Palestin-Israel yang berterusan akan menghalang pelaburan Barat, terutamanya apabila negara Barat sebahagian besarnya pro-Israel.

Ahli akademik Dr Mazlan Ali berkata, pemimpin Barat menyedari pendirian Malaysia apabila ia membabitkan krisis antara Palestin dan Israel.

Beliau berkata, di sebalik tentangan kuat Malaysia terhadap Israel, negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) masih menganggap Malaysia sebagai negara yang mesra.

“Ini bukan kali pertama kita mengutuk Israel susulan kekejaman yang mereka lakukan. Kita menyelar mereka selama beberapa dekad. Dunia Barat tahu pendirian kita dan kita menyatakannya dengan amat jelas.

“Kita juga pernah menjemput pemimpin Hamas ke Malaysia. Adakah itu menghalang pelaburan daripada masuk? Saya tidak fikir begitu, kita masih mempunyai hubungan dengan banyak negara, malah dengan AS dan Britain.

“Saya tidak nampak kemungkinan kita akan dipencilkan hanya dengan menyatakan sokongan kita terhadap Palestin. Jika negara Barat mahu memencilkan kita, sudah lama mereka lakukannya,” kata pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia itu.

Ketika ditanya sama ada Malaysia perlu memboikot mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco bulan depan, Mazlan berkata Anwar tidak seharusnya mengambil risiko kehilangan pelaburan masa depan kerana menghadiri mesyuarat itu dan menyokong perjuangan Palestin adalah dua perkara berbeza.

“Kita sudah menjelaskan kepada dunia kita mengutuk Israel dan kita tidak bersetuju dengan dasar AS. Tentangan kita terhadap penindasan yang dilakukan oleh Israel amat lantang dan jelas.

Di sebalik tentangan kuat Malaysia terhadap Israel, negara Eropah dan AS masih menganggap Malaysia sebagai negara yang mesra. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

“Apabila bercakap mengenai APEC, saya tidak nampak kenapa kita perlu memboikot mesyuarat itu hanya kerana AS berada di sana. Kita perlu terus berdagang dan meningkatkan pelaburan kita. Ini demi negara. Melainkan kita mahu jadi seperti Korea Utara, buat apa yang kita suka.

“Tidak menghadiri mesyuarat itu akan banyak merugikan kita dalam perdagangan dan pelaburan. Adakah sokongan kita terhadap Palestin akan sia-sia jika kita hadir? Tidak. Kita akan terus menyokong dan menghantar bantuan,” kata Mazlan.

Sekumpulan NGO pro-Palestin baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada Anwar menggesa beliau untuk tidak meneruskan cadangan merapatkan hubungan ekonomi Malaysia-AS kecuali dan hingga kerajaan AS mengubah dasar sokongan mereka terhadap Israel.

Kumpulan itu juga menuntut Anwar supaya tidak menghadiri mesyuarat APEC di San Francisco, yang dihoskan oleh kerajaan AS.

Mazlan mempersoalkan sama ada perdana menteri sebelum ini pernah memboikot mesyuarat APEC.

“Saya tidak fikir kita pernah memboikot mesyuarat itu,” tegasnya.

Hubungan Malaysia dengan Hamas sudah terjalin sejak bertahun-tahun.

Pada 17 Oktober, Anwar mendedahkan beliau berbual menerusi telefon dengan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Pada Januari 2020, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan kehadiran Ismail ke Putrajaya semasa lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak menjadi pemimpin tertinggi organisasi itu pada Mei 2017.

Pada 2021, Muhyiddin Yassin, perdana menteri kelapan Malaysia, juga mengadakan perbualan telefon dengan Ismail berikutan serangan udara oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Kedua-dua AS dan Israel melabelkan Haniyeh sebagai pengganas dan Hamas sebagai organisasi pengganas. – 30 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen