MCA sedia bergerak solo jika tinggalkan BN, kata pemimpin parti


Angie Tan

Ramai pemimpin parti MCA bersetuju dengan Wee Ka Siong mereka akan bergerak secara solo jika meninggalkan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2023.

MCA bersedia untuk bergerak secara solo jika ia memutuskan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno, kata seorang pemimpin parti.

Bagaimanapun parti itu yang berada dalam BN sejak 1973, lebih suka mencari rakan sekutu sederhana atau mereka yang berkongsi ideologi politiknya, kata Chan Quin Er, ahli jawatankuasa pusat MCA.

Chan, yang kalah bagi kerusi Parlimen Seputeh pada pilihan raya umum lalu, menjawab soalan mengenai kenyataan presiden parti Wee Ka Siong pada mesyuarat agung tahunan ke-70 parti awal bulan ini.

Wee berkata, MCA bersedia untuk bergerak secara solo sekiranya parti komponen BN membentuk perkongsian baharu dan meninggalkan ahli gabungannya yang sedia ada.

Ia dilihat sebagai mesej yang dihantar kepada Umno yang bertindak secara unilateral dalam perkara yang membabitkan BN. Umno juga menjalin hubungan yang lebih erat dengan DAP, parti yang sudah lama menjadi musuh utama MCA.

Chan berkata Wee menjelaskan kepada perwakilan situasi yang dihadapi parti sekarang, cabaran yang dihadapi dan pilihan yang boleh diambil untuk kekal relevan.

Beliau berkata bagi MCA, adalah mustahak bagi parti anggota BN untuk bekerjasama bagi memulihkan gabungan yang merudum sejak pilihan raya umum 2018.

“Kepentingan gabungan harus diutamakan,” katanya.

Chan berkata, MCA tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan BN jika ahli memutuskan untuk membentuk perkongsian lain.

Parti berusia 74 tahun itu adalah ahli Perikatan - pelopor BN - dari 1952 hingga 1973.

Chan berkata perubahan landskap politik di negara ini bermakna parti seperti MCA perlu bersedia untuk menghadapi perubahan itu.

“Perubahan dalam landskap politik tidak memberikan kita terlalu banyak pilihan,” katanya.

“Jadi MCA mesti bersedia untuk sebarang perubahan atau cabaran yang mungkin timbul dalam situasi politik yang semakin berkembang.”

Beliau berkata, Wee menggariskan situasi parti itu sekarang dan apakah hala tuju yang akan diambil jika ia meninggalkan BN kepada perwakilan.

Ancaman Wee untuk meninggalkan BN mendapat sokongan.

Pengerusi bahagian Alor Setar, Tan Chee Hiong berkata beliau menyokong sebarang tindakan untuk berpisah daripada BN.

“MCA pada asalnya adalah sebuah parti politik bebas. Jadi kenyataan presiden tidak menimbulkan sebarang isu,” katanya.

Wee pada persidangan itu berkata dalam ucapan dasarnya MCA bersedia untuk bermula dari awal.

Beliau juga berkata perkara paling penting adalah parti itu berdiri teguh pada kedudukannya sebagai parti politik dan tidak beralih kepada pertubuhan kebajikan.

“Sebagai parti politik pengasas, MCA tidak boleh bergantung kepada orang lain selama-lamanya,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli parti supaya berpandukan perspektif BN dan mengutamakan kepentingan gabungan itu dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Nasib MCA buruk dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu. Pada PRU15, parti itu hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

Walaupun BN sebahagian daripada kerajaan perpaduan, MCA bukan sebahagian daripada kabinet Anwar Ibrahim. Pemimpinnya juga tidak dipertimbangkan untuk jawatan kerajaan.

Pemimpin parti juga menyatakan kekecewaan mereka apabila Umno tidak berunding dengan mereka dalam rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya enam negeri Ogos lalu.

Akhirnya MCA memutuskan untuk tidak bertanding dengan hanya Umno yang bertanding di semua kerusi BN. – 29 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen