Wakil rakyat DAP perlu cemerlang atau diganti, kata Loke


Setiausaha agung parti Anthony Loke memberitahu wakil rakyat DAP supaya tidak memalukan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2023.

WAKIL rakyat DAP yang gagal melaksanakan tugas mereka berdepan kemungkinan akan diganti, kata setiausaha agung parti Anthony Loke.

Berucap pada konvensyen tahunan DAP Perak di Ipoh hari ini, Loke berkata wakil rakyat perlu ingat mereka dipilih oleh pengundi.

Beliau memberitahu mereka supaya tidak memalukan parti.

DAP mempunyai 40 ahli Parlimen dan 90 Adun di 10 negeri termasuk menteri dan Exco negeri. Ia juga mempunyai ramai ahli majlis tempatan dan ketua kampung yang dilantik.

“Kita perlu ingat mandat yang diberikan oleh pengundi kepada kita, mereka mempercayai kita. Kita tidak boleh mengambil mudah tanggungjawab. Semua ahli DAP mesti bekerja keras dan ingat tugas kita untuk berkhidmat kepada orang ramai,” kata Loke, yang juga menteri pengangkutan.

“Di Perak sahaja, kita mempunyai dua menteri dan empat anggota Exco kerajaan negeri, 99 ahli majlis tempatan dan lebih 100 ketua kampung.

“Perkara yang paling penting adalah mengingatkan diri kita setiap hari kenapa kita melakukan perkara ini dan mengingati tanggungjawab yang kita pegang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan muka baharu parti supaya bekerjasama dengan pemimpin sedia ada dan bukannya menentang mereka. – 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen