Rakyat Malaysia terus bangkit nyata solidariti, perjuang nasib Palestin


Rakyat Malaysia tanpa henti menyatakan bantahan kepada rejim zionis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2023.

RAKYAT Malaysia terus bangkit menyatakan solidariti di seluruh negara hari ini, selari pendirian negara yang lantang dan konsisten memperjuang nasib rakyat di bumi bergolak Palestin sekali gus mengecam kekejaman rejim Zionis.

Di MELAKA, lebih 5,000 masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa hadir menyertai Mega Road Tour Himpunan 1,000,000 Pembela Palestin di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong.

Laungan ‘Hidup Palestin’, ‘Merdeka Palestin’ dan ‘Hancur Zionis’ bergema di pekarangan stadium itu bagi membantah serangan tanpa peri kemanusiaan yang meragut ribuan nyawa di kawasan bergolak itu.

Hadirin yang rata-ratanya berpakaian berwarna putih tiba seawal 7 pagi dengan mengenakan mafla dan mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara yang ditindas rejim Zionis itu.

Himpunan berkenaan turut disertai Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh yang tiba kira-kira 9.30 pagi bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Ab Rauf ketika ditemui pemberita berkata kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan solidariti bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Zionis.

“Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana NGO untuk menganjurkan (perhimpunan bagi menyatakan) rasa simpati tetapi mestilah mengikut peraturan yang digariskan kerajaan.

Saya mengalu-alukan seluruh rakyat Melaka bersama-sama pimpinan bahawa suara untuk rakyat Palestin ini mesti disuarakan sebanyak mungkin di seluruh negeri,” katanya.

Seorang peserta perhimpunan, Muhammad Adam, 38 yang berasal dari Yangon, Myanmar berkata dia tiba pada 7 pagi tadi bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Ramai yang meninggal dunia dalam peperangan yang berlaku di Palestin. Saya rasa kasihan melihat mereka dan hadir pada hari ini untuk menunjukkan sokongan,” katanya yang tinggal di Melaka sejak 14 tahun lepas dan fasih berbahasa Melayu.

Bagi penjawat awam, V. Surega, 27 berkata dia menyertai perhimpunan tersebut bagi menyatakan sokongan sebagai rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin yang ditindas di Gaza.

Beliau berkata video yang tular di media sosial mengenai kekejaman Zionis amat mengguris hatinya terutama ketika melihat bayi-bayi yang yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban dalam serangan.

Laungan 'merdeka Palestin' bergema di serata pelusuk.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2023.

Di NEGERI SEMBILAN, pekarangan Stadium Abdul Rahman Paroi gamat dengan laungan ‘Bebaskan Palestin’ bagi menaikkan semangat hampir 200 ahli Kelab Pajero Malaysia & Frenzz (PCMF) Negeri Sembilan dan Aman Palestin negeri sebelum memulakan konvoi solidariti Palestin.

Konvoi yang disertai 52 kenderaan pacuan empat roda itu bergerak kira-kira 40 kilometer bermula dari stadium berkenaan hingga ke pantai Bagan Pinang, Port Dickson dengan mengibarkan bendera Palestin.

Pengurus Cawangan Aman Palestin Negeri Sembilan Mohamad Isfahmi Mohamad Nordin berkata walaupun usaha itu mungkin kecil namun ia sebagai mesej kepada dunia bahawa negara bersama-sama turut berjuang dengan rakyat Palestin.

“Nak pergi sana (Palestin) nak berjuang angkat senjata kita mungkin tak mampu tapi inilah sebahagian jihad yang mampu dibuat. Kita kena bangkit tunjukkan kita juga berjuang dalam membantu mereka,” katanya kepada pemberita sebelum memulakan konvoi berkenaan, hari ini.

Ketua konvoi PCMF Zaim Shahari berharap konvoi berkenaan akan diteruskan merentasi negeri selepas ini dengan penyertaan yang lebih ramai sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai untuk turut bersolidariti dalam perjuangan Palestin.

“Mesej yang ingin disampaikan adalah apa yang terjadi di Gaza, Palestin bukanlah lagi isu kemanusiaan kerana isu berkenaan sudah berlaku lebih 70 tahun dan penduduk di sana terus berdepan penindasan rejim Israel,” katanya.

Masjid Dato’ Klana Petra Mubarak Al-Haj, Sungai Landak, Ampangan turut tidak terkecuali mengadakan aktiviti sokongan menerusi penganjuran program Palestin Kita Bersama termasuk pertandingan poster digital, video pendek dan kolaj selain ceramah dan bacaan Qunut Nazilah ketika solat zuhur.

Pengerusi Jawatankuasa masjid Zainal Ariffin Omar berkata penganjuran program itu dengan penglibatan semua golongan adalah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu Palestin.

“Kita kena faham isu yang berlaku ketika ini dan kita perlu tanya kepada diri apa yang kita boleh buat dan bantu. Penganjuran program sebegini antara perkara yang boleh kita buat bagi meningkatkan kesedaran itu,” katanya

Di TERENGGANU, tiga institusi pendidikan di bawah naungan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) mengadakan perhimpunan aman bagi menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Pengurus Program, Tengku Ahmad Mujahid Tengku Mahmud berkata keseluruhan seramai 200 pelajar dari Kolej Universiti Bestari (UCB), Kolej Teknologi Bestari (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (IKB) mengadakan perhimpunan tersebut yang berlangsung di Dewan Teater UCB di Putera Jaya, Bandar Permaisuri, hari ini.

“Perhimpunan itu dimulakan dengan bacaan doa dan masing-masing membawa plakad ‘Free Palestine’ sebagai tanda simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.

“Pelajar tersebut terdiri daripada golongan anak yatim dan daripada keluarga B40 yang menghadiri kursus Kepimpinan dan Jati Diri selama empat hari di UCB,” katanya.

Turut menyertai perhimpunan itu Pengerusi Lembaga Pengelola UCB Dr Tengku Mahmud Mansor dan Pemangku Naib Canselor UCB Prof Madya Ir Dr Mustafa Salleh. – Bernama, 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen