KETUA pembangkang Bangladesh ditahan pihak berkuasa pada pagi Ahad, sehari selepas himpunan mega memprotes perdana menteri menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlaku tiga bulan lagi, kata partinya.
“Mirza Fakhrul Islam Alamgir ditahan oleh pegawai agensi penguatkuasaan undang-undang,” kata Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dalam satu kenyataan.
“Dia ditahan pegawai polis,” kata Shamaruh Mirza, anak perempuan Alamgir yang menetap di Australia kepada AFP.
Jurucapak Polis Dhaa Faruk Hossain berkata beliau tidak mengetahui tentang penahanan itu.
Alamgir, 75, setiausaha agung BNP, menerajui parti itu sejak pengerusi BNP dan bekas perdana menteri Khaleda Zia ditahan dan dipenjara, anak lelakinya pula diusir ke Britain.
Zia berada dalam tahanan di rumah sejak dibebaskan daripada hukuman penjara 17 tahun pada 2020.
Protes pada Sabtu yang dianjurkan BNP dan parti Islam terbesar, Jamaat-e-Islami, adalah himpunan terbesar tahun ini, kata wartawan AFP yang menghadirinya, dan menandakan fasa baru protes mereka terhadap pilihan raya umum dijadualkan pada Januari tahun depan.
Lebih 100,000 penyokong kedua-dua parti utama Bangladesh itu berarak menuntut Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan untuk membolehkan pilihan raya adil dan saksama diadakan.
Hasina, anak perempuan pemimpin pengasas negara itu, sudah berkuasa selama 15 tahun yang menyaksikan pertumbuhan pesat ekonomi Bangladesh yang berjaya mengatasi KDNK India, tetapi masalah inflasi terus memburuk dan kerajaannya dituduh bergelumang dengan korupsi dan pelanggaran hak asasi.
BNP dan Jamaat-e-Islami turut meminta penyokong mereka melakukan mogok seluruh negara pada Ahad untuk membantah kezaliman.
Keselamatan di ibu kota Bangladesh diperketat pada Ahad dengan ribuan anggota polis dan kumpulan separa tentera Pengawal Sempadan Bangladesh dilihat berkawal di jalanan. – AFP, 29 Oktober, 2023.
Komen