Talian internet di Gaza disambung semula


Ketercapaian internet di Tebing Gaza sudah disambung semula sejak awal pagi tadi, menurut badan pemantau rangkaian global Netblocks.– Gambar AFP, 29 Oktober, 2023.

KETERCAPAIAN internet di Tebing Gaza sudah disambung semula, kata pemantau rangkaian global Netblocks pada Ahad, selepas dua hari ia terputus kerana pengeboman Israel.

“Data rangkaian masa nyata menunjukkan ketercapaian internet sudah disambung semula di Tebing Gaza,” tulis syarikat itu di X atau Twitter.

Seorang pekerja AFP di Bandar Gaza berkata tidak lama selepas jam 4 pagi, beliau sudah boleh menggunakan internet dan berjaya menghubungi beberapa orang di selatan Gaza melalui telefon.

Akses internet dan telefon terputus di seluruh Gaza sejak Jumaat ketika Israel memperhebat pengeboman di wilayah itu.

Israel melancarkan serangan dahsyat selepas Hamas menyerbu masuk sempadan Gaza pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,400 orang dan menjadikan 230 orang sebagai tebusan, menurut pegawai Israel.

Sejak itu, Israel melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza yang membunuh lebih 8,000 orang dengan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak.

Bulan Sabit Merah Antarabangsa berkata sekatan komunikasi telah memutuskan semua talian kecemasan dan mengganggu perkhidmatan ambulan. – AFP, 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen