Pengurusan Megah Rise Mall laksana penilaian struktur


Orang ramai menyelamatkan diri apabila sebahagian siling Megah Rise Mall di Petaling Jaya runtuh ketika hujan lebat semalam. – Gambar tangkap layar, 29 Oktober, 2023.

PENILAIAN menyeluruh struktur akan dilakukan ke atas Megah Rise Mall di Petaling Jaya yang sebahagian silingnya runtuh semalam.

PPB Properties, syarikat bertanggungjawab ke atas hartanah itu berkata proses pembaikian dan pengukuhan yang diperlukan juga akan turut dilakukan.

Syarikat turut meluahkan rasa kesal kerana kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang semalam.

Dalam kejadian semalam, siling berhampiran pintu masuk utama runtuh yang menyebabkan tiga orang cedera ringan. Kesemua mereka sudah menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Doa kami bersama mereka yang terkesan dengan kejadian hari ini (semalam). Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan semua pihak berkuasa berkaitan untuk menguruskan situasi selancar mungkin,” kata Low Eng Hooi, ketua pegawai eksekutif PPB Properties dalam satu kenyataan.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan, penyewa dan kakitangan kami sentiasa menjadi keutamaan ulung dan langkah serta merta bagi memastikan keselamatan semua orang yang berada ketika kejadian sudah diambil. Kawasan terlibat juga segera dikosongkan dan sisa runtuhan sudah dibersihkan.

“Kami meminta maaf atas sebarang kesukaran yang berlaku dan menghargai kerjasama dan pemahaman anda,” tambahnya.

Walaupun kompleks beli belah itu masih beroperasi seperti biasa, kawasan terjejas termasuk pintu masuk utama, lif mesra haiwan dan Kheng Wah Kopitiam masih ditutup sehingga dimaklumkan kemudian.

“Satu pasukan perunding sudah dilantik untuk menjalankan penilaian menyeluruh struktur dan melaksanakan semua pembaikian dan pengukuhan yang diperlukan.”  

“Keselamatan awam adalah keutamaan kami. Kami komited untuk melaksanakan langkah keselamatan menyeluruh bagi melindungi komuniti dan mengelak kejadian sama berulang pada masa depan,” kata Low lagi.

Projek pembangunan bercampur itu yang termasuk Megah Rise Residensi, kondominium mewah setinggi 39 tingkat dilancarkan PPB Properties pada Disember 2022.

Rakaman kejadian semalam yang tular di media sosial menunjukkan saat genting pelanggan dan pengawal keselamatan ketika siling mula runtuh.

Klip berdurasi 37 saat itu juga menunjukkan tindakan pantas pengawal keselamatan yang memandu orang ramai ke kawasan selamat. – 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen