Taun, denggi bunuh lebih 100 orang di Sudan


Sejumlah 1,049 kes taun, 73 daripadanya membunuh mangsa direkodkan di Khartoum, negeri Al-Jazira di selatan negara itu dan negeri Gedaref di barat. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2023.

WABAK taun dan denggi yang melanda negara berkonflik Sudan sudah membunuh lebih 100 orang sejak Ogos lalu, kata Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

Sejumlah 1,049 kes taun, 73 daripadanya membunuh mangsa direkodkan di Khartoum, negeri Al-Jazira di selatan negara itu dan negeri Gedaref di barat, kata kementerian lagi.

Khartoum adalah wilayah pertempuran utama antara jeneral yang bersaing untuk merebut kuasa sejak April.

Beratus ribu penduduk Khartoum terpaksa meninggalkan rumah mereka ke kawasan yang lebih tenang seperti Gedaref dan Al-Jazira, menyebabkan wujud masalah bekalan air bersih.

Sembilan negeri lagi merekodkan kes denggi dengan 49 adalah kes maut daripada 3,316 kes.

Negeri Gedaref yang bersempadan dengan Ethiopia melaporkan 2,152 kes dengan 33 kematian.

Sebelum pertempuran berlaku pada April, sistem kesihatan Sudan sudah bergelut untuk mengekang penularan wabak yang memuncak ketika musim hujan bermula pada Jun.

Konflik yang berlaku sekarang dengan hospital dibom, bekalan ubat berkurangan dan ramai doktor meninggalkan negara itu hampir melumpuhkan sistem kesihatannya.

Kementerian berkata hampir 70% hospital terletak di kawasan perang yang berdepan masalah ketercapaian. – AFP, 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen