Starlink milik Elon Musk akan sokong akses internet di Gaza


Perkhidmatan satelit milik Elon Musk akan membantu memulihkan semula akses internet di Gaza yang terputus sejak Jumaat. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2023.

JUTAWAN Elon Musk pada Sabtu berkata perkhidmatan satelit Starlink miliknya akan menyokong akses internet untuk “organisasi bantuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Gaza,” yang menghadapi gangguan telekomunikasi sejak Jumaat.

Starlink ialah rangkaian satelit di orbit rendah Bumi yang boleh menyediakan internet ke lokasi terpencil, atau kawasan yang mempunyai infrastruktur komunikasi biasa yang terputus.

Musk, yang memiliki Starlink SpaceX, menjawab hantaran dibuat anggota kongres Demokrat AS Alexandria Ocasio-Cortez yang menyebut komunikasi terputus di Gaza “tidak boleh diterima”.

“Starlink akan menyokong sambungan kepada organisasi bantuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Gaza,” tulis Musk di X.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata: “Kami amat mendapat manfaat daripada Starlink untuk cuba menghubungi kakitangan dan kemudahan kesihatan kami di Gaza. Bagaimanakah kami boleh merealisasikannya?”

Agensi PBB dan NGO sebelum ini pada Sabtu melaporkan mereka terputus hubungan dengan pasukan di Semenanjung Gaza.

“Hospital dan operasi kemanusiaan tidak boleh diteruskan tanpa komunikasi,” Lynn Hastings, Penyelaras Residen dan Kemanusiaan PBB, menulis di X.

Israel melancarkan kempen pengebomannya selepas pejuang Hamas menyerbu merentasi sempadan Gaza pada 7 Oktober, membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 220 tebusan, menurut pegawai Israel.

Kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza berkata serangan Israel pula membunuh 7,703 orang, terutamanya orang awam, termasuk 3,500 kanak-kanak.

Perkhidmatan internet satelit Starlink Musk turut digunakan di Ukraine sejurus selepas pencerobohan Rusia pada Februari 2022.

Rangkaian itu, yang membantu tentera beroperasi di kawasan yang terputus komunikasi, adalah peralatan medan perang utama untuk Kyiv.

Pada September, Musk berkata beliau menghalang rancangan Ukraine menghapuskan armada Tentera Laut Russia di Laut Hitam pada tahun lalu dengan menyekat akses Kiev kepada Starlink.

“Pada masa itu terdapat permintaan kecemasan daripada pihak berkuasa kerajaan untuk mengaktifkan Starlink sehingga ke Sevastopol. Tujuan yang jelas adalah untuk menenggelamkan sebahagian besar armada Rusia,” tulis Musk di X.

Kenyataan itu mencetuskan kecaman daripada Mykhailo Podolyak, pembantu kanan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky. – AFP, 29 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen