KERAJAAN Sabah menyumbang RM300,000 untuk Tabung Kemanusiaan Aman Palestin bagi membantu rakyat negara itu yang sedang menderita akibat penindasan dan kekejaman rejim Zionis
Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan sumbangan itu sempena program Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah di Kota Kinabalu, hari ini yang disertai kira-kira 10,000 orang.
Beliau berkata selain sumbangan kerajaan negeri, pelbagai agensi, badan dan organisasi di Sabah turut menyumbang untuk tabung berkenaan yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM355,000.
“Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka daripada penindasan rejim Zionis di bumi mereka sendiri.
“Kita mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan untuk menghentikan kekejaman Zionis Israel. Mereka melakukan kekejaman berpuluh tahun,” katanya.
Hajiji berkata kejadian dahsyat yang berlaku di bumi Gaza perlu menjadi iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah.
“Kita bertuah kerana semua rakyat Malaysia, walaupun terdiri dari berbilang suku, bangsa dan keturunan masih dapat hidup dalam suasana yang aman, damai dan harmoni.
“Kita berdoa agar keadaan ini dapat dihargai dan dipertahankan selama-lamanya,” katanya.
Perhimpunan itu turut dihadiri, Speaker Dewan Undangan Negeri Kadzim Yahya, Timbalan Ketua Menteri III Shahelmy Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Ariffin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong. – Bernama, 28 Oktober, 2023.
Komen