Unimap sedia 25 biasiswa khas untuk pelajar Palestin


Biasiswa itu antaranya melibatkan biasiswa penginapan, yuran pengajian dan wang perbelanjaan harian, sekali gus diharapkan dapat membantu pelajar Palestin yang masih belajar di Unimap.– Gambar Facebook, 28 Oktober, 2023.

UNIVERSITI Malaysia Perlis (Unimap) menyediakan 25 biasiswa khas kepada pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti itu dalam usaha membantu mereka menjalani pembelajaran dengan lebih selesa.

Unimap dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan biasiswa itu antaranya melibatkan biasiswa penginapan, yuran pengajian dan wang perbelanjaan harian, sekali gus diharapkan dapat membantu pelajar Palestin yang masih belajar di universiti berkenaan.

Kenyataan itu menyebut komitmen berkenaan dinyatakan Naib Canselor Unimap Prof Ts Dr Zaliman Sauli kepada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur semalam.

“Pelajar Palestin di Unimap juga akan menerima duit perbelanjaan untuk memudahkan mereka menyara kehidupan harian di samping pengajian,” kata Zaliman dalam kenyataan itu.

Zaliman berkata pertemuan itu membincangkan isu dihadapi pelajar Palestin di Unimap dengan tidak hanya berkomitmen untuk menyediakan bantuan kewangan, malah sokongan emosi dan moral juga diberikan kepada pelajar terlibat.

Selain itu, perbincangan turut memberikan perhatian terhadap musibah yang menimpa seorang pelajar Palestin di Unimap yang kehilangan seorang ahli keluarga, mencetuskan keprihatinan dan kepedulian daripada pihak universiti.

Unimap menegaskan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam tindakan kejam Israel, sekali gus mencerminkan semangat solidariti universiti itu dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan global. – Bernama, 28 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen