3,200 tan metrik koko bagi kegunaan domestik, kata TPM Fadillah


Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pada 2022 negara mengeluarkan 493 tan metrik biji koko kering tetapi jumlah itu tidak mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2023.

KIRA-KIRA 3,200 tan metrik pengeluaran biji koko kering setahun diperlukan bagi menampung permintaan pasaran domestik.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, pada tahun 2022 negara mengeluarkan sebanyak 493 tan metrik biji koko kering bagaimanapun jumlah itu masih belum mencukupi.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, peningkatan permintaan itu juga disebabkan oleh pertambahan syarikat yang menghasilkan coklat di peringkat domestik.

“Pengusaha chocolatier tempatan bertambah tetapi bekalan koko di Malaysia rendah. Kebanyakan daripada mereka perlu mengimport dari negara Afrika.

“Ini bermakna industri koko ini sangat berpotensi kerana permintaan semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program roadshow tanaman koko dan demonstrasi coklat buatan tangan di Bintulu, Sarawak hari ini.

Fadillah berkata, buat masa ini kerajaan sedang menggalakkan penanaman koko di peringkat komuniti termasuk di kawasan kampung.

“Misalnya di peringkat kampung mereka boleh mengenal pasti satu kawasan untuk penanaman dan menubuhkan satu koperasi. Koperasi ini nanti akan bertanggungjawab mengumpul hasil koko dan menjalankan proses untuk dikeringkan dan dijual,” katanya.

Fadillah berkata, keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar dan daripada jumlah itu 1,454 hektar diusahakan di Sarawak.

Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei, katanya. – Bernama, 28 Oktober, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen