KELUARGA tebusan warga Israel yang ditahan Hamas di Gaza pada Sabtu menuntut penjelasan serta merta kerajaan mengenai nasib tahanan susulan tindakan tentera memperhebat pengeboman wilayah Palestin.
Kumpulan itu mewakili sekitar 229 orang dipercayai diculik dalam serangan 7 Oktober oleh Hamas mahu pertemuan segera dengan menteri diadakan.
Forum Tebusan dan Keluarga Hilang dalam satu kenyataan berkata waris sangat marah dengan “nasib tidak menentu tebusan (di Gaza) yang juga berdepan pengeboman hebat.”
“Tiada seorang pun menteri dalam Kabinet Perang sedia berjumpa keluarga untuk menjelaskan hanya satu perkara- samada operasi darat dilakukan akan membahayakan keselamatan 229 tebusan di Gaza,” kata kumpulan.
“Keluarga bimbang dengan nasib orang kesayangan mereka dan kami menanti penjelasan. Setiap minit terasa terlalu lama.”
Pada malam sebelumnya, Israel memperhebat serangan ke atas Tebing Gaza ditadbir Hamas dengan serangan udara dan darat yang menurut tentera menyasarkan 150 “terowong bawah tanah” di seluruh wilayah itu.
Pada Khamis, Hamas berkata “hampir 50 orang tebusan” terbunuh dalam serangan Israel ke atas Tebing Gaza sejak 7 Oktober lalu.
AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah tersebut.
Israel mula memperhebat pencerobohan darat sejak pejuang Hamas menceroboh sempadan dan membunuh 1,400 orang dan mengambil 229 orang sebagai tebusan, menurut Israel.
Lebih daripada 7,300 orang terbunuh dalam serangan balas Israel termasuk 3,000 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. – AFP, 28 Oktober, 2023.
Komen