RATUSAN orang ditahan semalam apabila polis menyuraikan secara kasar himpunan mega yang dihadiri ramai Yahudi menetap di New York bertempat di stesen Grand Central bagi membantah pengeboman Israel ke atas Gaza, kata polis dan penganjur.
Jabatan Polis New York berkata sekurang-kurangnya 200 ditahan, bagaimanapun penganjur protes berkata jumlah ditahan lebih daripada 300 orang.
Gambar protes menunjukkan ramai anak muda berbaris menyertai protes yang ditahan memakai baju hitam tertulis “Bukan Atas Nama Kami” dan “Gencatan Senjata Sekarang” berwarna putih.
Protes mega itu dianjurkan oleh kumpulan Jewish Voice for Peace-New York City, yang berkata ribuan ahlinya hadir protes itu, menyekat jalan masuk ke stesen utama keretapi di bandar itu.
Gambar tersebar juga menunjukkan stesen itu penuh dengan hadirin membawa sepanduk bertulis “Rakyat Palestin patut bebas” dan sebagainya.
Penganjur menyifatkan protes aman duduk itu adalah “ketidakpatuhan awam terbesar di Bandar New York pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun”.
Israel memulakan pengeboman di Gaza selepas Hamas menceroboh sempadan pada 7 Oktober, membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam dan menculik lebih 220 yang lain, menurut pengawai Israel.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan Israel ke atas Gaza kini sudah membunuh 7,326 orang dengan lebih daripada 3,000 mangsa yang maut adalah kanak-kanak. – AFP, 28 Oktober, 2023.
Komen