95 ditahan dalam serbuan pusat operasi sindiket penipuan di Myanmar


POLIS Myanmar menahan 95 orang dalam satu serbuan ke atas pusat operasi sindiket penipuan dalam talian di Yangon minggu ini, kata pihak berkuasa.

Negara itu dalam situasi huru-hara sejak rampasan kuasa berlaku pada Februari 2021, dengan sindiket jenayah mengambil kesempatan mewujudkan pusat penipuan terutamanya di kawasan sempadan.

Pihak berkuasa menahan 95 orang tersebut di tiga Alamat berasingan di Yangon pada Khamis- kebanyakan mereka adalah warga tempatan serta beberapa orang warga asing.

Polis turut merampas sebuah kereta BMW, komputera riba, telefon, komputer dan peralatan lain dalam serbuan, menurut kenyataan dikeluarkan junta tentera pada Jumaat.

“Dalam komputer terdapat data orang dari luar negara yang digunakan untuk melakukan penipuan wang dalam talian,” kata kenyataan.

Pengawai polis turut menyerbu rumah suspek dipercayai ketua sindiket tetapi dia berjaya melarikan diri, tambah kenyataan.

Serbuan itu adalah yang pertama dibuat sejak junta mengumumkan penahanan besar-besaran anggota sindiket penipuan di Yangon.

Serbuan sebelum dilakukan di utara negara tersebut yang bersempadan dengan China.

Myanmar sedang menerima tekanan hebat dari Beijing untuk menghapuskan pusat penipuan yang sering kali menyasarkan warga China.

Kumpulan jenayah dipercayai memperdaya, menculik dan memaksa ribuan warga China dan tempatan sebagai buruh paksa dalam operasi pusat penipuan dalam talian berpangkalan di Asia Tenggara.

Sindiket selalunya mengambil masa berminggu memperdaya mangsa sebelum menyakinkan mereka untuk menyerahkan duit untuk pelaburan palsu dan lain-lain penipuan, kata penganalisis.

 

 

Individu yang diseludup yang mempunyai kaitan dengan kasino dan operasi sindiket jenayah terancang “tumbuh bak cendawan selepas hujan di Asia Tenggara terutamanya di Mekong” dan keuntungan diperolehi sindiket mencecah tahap tidak pernah berlaku sebelum ini, lapor Pejabat PBB tentang Dadah dan Jenayah.

Industri penipuan meraih kumpulan jenayah berbilion dolar dan keuntungan diraih mereka menyamai KDNK sesetengah negara Asia Tenggara, kata agensi itu dalam laporan dikeluarkan pada September lalu.

Mangsa penipuan dilaporkan pergi ke Myanmar, Kemboja, Thailand dan Laos atas janji palsu hubungan romantsi atau pekerjaan lumayan sebelum ditahan dan dipaksa menipu orang.

Kementerian Luar Thailand berkata 219 warga negara itu diperdaya sindiket Myanmar dan rangkaian penyeludupan orang di utara Negeri Shan.

Setakat ini 153 orang berjaya diselamatkan, kata jurucakap Kanchana Patarachoke pada Jumaat. – AFP, 28 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen