Polis tahan 2 lelaki bantu siasatan kes ugut PM, timbalan KPN di media sosial


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki pertama yang disyaki pemilik atau pengendali Facebook Nekad Hikers Ventures berumur lingkungan 51 tahun, ditahan di kawasan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Lelaki kedua pula yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook Jgad Zruu berumur 27 tahun, ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan, dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“PDRM menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shuhaily berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama, 28 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen