DAP mahu Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tatatertib ke atas pihak yang terlibat menganjurkan program solidariti Palestin di sekolah yang memaparkan unsur keganasan, termasuk melibatkan penggunaan senjata mainan, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.
Katanya, program itu menghantar mesej dan memberi pengajaran yang salah kepada generasi muda Malaysia.
“Justeru itu, DAP meggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menganjurkan program tersebut dan menghalang sebarang program seumpama daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan memikirkan semula penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah, yang dijadual bermula esok (29 Oktober) hingga 3 November.
Semalam, beberapa gambar murid dan guru memegang senjata mainan dalam satu acara menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin tersebar ketika Kementerian Pendidikan menghebahkan penganjuran program Minggu Solidariti Palestin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam reaksinya menggesa program seumpama itu dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.
KPM dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan program itu di luar penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang hanya bermula esok.
Kementerian juga memberitahu ia tidak bertolak ansur dengan program yang berbentuk ekstrem, radikal dan menganjurkan keganasan.
Menurut Loke, DAP terkilan dengan penganjuran program seperti yang tular di media sosial.
“Program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah yang selari dengan prinsip-prinsip Madani.
“Hubungan dan pemahaman silang budaya serta perasaan hormat-menghormati sesama rakan sebaya daripada latar belakang berlainan juga harus dipupuk,” katanya.
Beliau juga mengulangi pendirian partinya bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan. – 28 Oktober, 2023.
Komen