RANGKAIAN komunikasi dan Internet di seluruh Semenanjung Gaza terputus sepenuhnya ketika Israel memperhebatkan pengebomannya ke atas wilayah Palestin.
Wartawan AFP di Gaza mengesahkan mereka hanya boleh berkomunikasi di kawasan terhad di mana mereka hanya boleh boleh berhubung dengan rangkaian Israel merentasi sempadan.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata mereka terputus hubungan dengan bilik gerakannya dan menyukarkan usaha menyelamatkan mangsa yang cedera.
“Kami terputus hubungan sepenuhnya dengan bilik gerakan di Gaza dan semua pasukan yang beroperasi di sana,” kata persatuan itu di platform X.
Gangguan komunikasi dan Internet di Gaza disahkan pembekal telekomunikasi Palestin, Jawwal.
Pencerobohan yang berterusan itu memutuskan “laluan antarabangsa terakhir” yang menghubungkan Gaza ke dunia luar, katanya menerusi catatan di Facebook. – AFP, 28 Oktober, 2023.
Komen