Tentera Filipina minta Facebook tutup akaun militan


Bandar Marawi menjadi tumpuan dunia selepas kumpulan militan IS menakluk sebahagian bandar itu dalam usaha mewujudkan pangkalan IS di Asia Tenggara. – Gambar EPA, 9 Jun, 2017.

TENTERA Filipina meminta bantuan Facebook untuk menutup sejumlah akaun yang mempunyai kaitan dengan militan Islam yang menyerang bandar di selatan negara itu, mendakwa yang akaun itu digunakan untuk sebaran propaganda.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera bekata unit media sosial pasukan keselamatan menemui 63 akaun Facebook milik militan dan penyokong mereka.

“Kesemua 63 akaun ini menyebarkan maklumat palsu dan fitnah yang memberi kesan kepada persekitaran maklumat dan tanggapan rakyat Filipina,” kata Herrera dalam satu sidang media di selatan bandar Marawi.

Pihak tentera sudah meminta Facebook Filipina “untuk melakukan tindakan sepatutnya bagi menutup akaun palsu itu,” kata Herrera.

Ratusan militan kumpulan Negara Islam (IS) menyerang Marawi pada 23 Mei lepas dan menakluk sebahagian bandar itu.

Mereka setakat ini berjaya menahan serangan udara dan darat tentera kerajaan lebih daripada dua minggu.

Presiden Rodrigo Duterte menyifatkan serangan itu sebahagian daripada rancangan IS untuk mewujudkan pangkalan di selatan Mindanao, dan dia sudah mengisytiharkan undang-undang darurat tentera di kawasan itu untuk mengawal ancaman itu.

Empat puluh tentera kerajaan dan 138 militan disahkan terbunuh dalam pertempuran itu.

Dua puluh orang awam juga menjadi mangsa korban walaupun jumlah itu dijangka lebih tinggi kerana pihak berkuasa masih belum memasuki kawasan yang masih ditakluk militan.

Lebih 2,000 orang owam dipercayai masih terperangkap dalam kawasan bergolak itu dan ada antara mereka digunakan sebagai perisai manusia, kata tentera lagi.

Militan IS menggunakan rangkaian media sosial mereka yang luas untuk mewujudkan ketakutan dan menyebarkan ideologi mereka dan penganalisis berpendapat yang pengikut militan melalui proses radikalisasi dengan membaca dan mendengar bahan propaganda dalam talian.

AFP sudah meminta kenyataan daripada Facebook di Manila yang mengatakan permintaan tentera itu sedang dibincangkan syarikat itu. – AFP, 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen