Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat


JUMLAH mangsa banjir di Perak meningkat kepada 324 orang daripada 99 keluarga pagi ini berbanding 268 orang daripada 84 keluarga malam tadi dengan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu 207 mangsa daripada 66 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap.

“PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian mempunyai 41 mangsa daripada sembilan keluarga, manakala 76 mangsa membabitkan 20 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Kerunai di daerah Hulu Perak,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Bidor melepasi tahap bahaya apabila merekodkan ketinggian 3.82 meter berbanding paras normal iaitu kira-kira 2 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang berada pada paras berjaga-jaga apabila meningkat kepada 13.48 meter berbanding paras normal iaitu 10 meter.

Situasi sama turut berlaku di Sungai Kerian di Selama apabila paras air meningkat kepada 11.28 meter berbanding paras normal yang ditetapkan iaitu 10 meter.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid. 

Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. – Bernama, 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen