Bukan semua penjaja di Jalan Alor tipu pelancong, kata persatuan


Angie Tan

Pengunjung yang berasa ditipu oleh penjaja di Jalan Alor, digesa laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – Gambar Facebook, 27 Oktober, 2023.

TERDAPAT penjaja di pusat pelancongan Kuala Lumpur di Jalan Alor, Bukit Bintang, yang bertindak menipu pengunjung tetapi bilangannya kecil, kata Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang.

Pengerusi persatuan See Foo Hoong berkata walaupun “kebanyakan peniaga mengikut peraturan”, beliau mengakui terdapat beberapa peniaga yang bertindak sebaliknya.

See menjawab kritikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing yang mendedahkan ada peniaga di Jalan Alor menipu pengunjung, kebanyakannya pelancong asing.

Tiong menyifatkan Jalan Alor, tarikan utama pengunjung Cina ke banyak gerai penjaja dan restoran, sebagai kawasan bermasalah.

Menteri itu berkata kementeriannya menerima semakin banyak aduan mengenai sikap pekerja tidak mesra pelancong dan harga yang melampau.

Tiong berkata pengunjung asing mendakwa mereka dikenakan caj tiga hingga empat kali lebih tinggi daripada harga biasa.

“Saya tidak menafikan wujudnya perkara sedemikian,” kata See kepada The Malaysian Insight.

“Dan saya pastinya tidak menyokong tingkah laku mereka juga,” tambahnya.

See berkata tiada sebab mengapa peniaga ini perlu melakukan amalan tidak beretika dan sikap buruk sedemikian memandangkan perniagaan di kawasan itu bagus.

“Orang ramai kembali (selepas wabak). Mengapa terlibat dalam amalan sedemikian?”

See menasihatkan pengunjung agar ke restoran lain jika berasa mereka dikenakan bayaran berlebihan oleh penjaja dan mencari peniaga yang menawarkan perkhidmatan lebih telus dengan mempamerkan harga makanan pada menu.

Harga bagi hidangan bersaiz kecil, sederhana atau besar setiap hidangan tertera dengan jelas pada menu, katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang berasa ditipu agar mengambil resit dan menu serta membuat laporan kepada kementerian.

Di sebalik kekesalan menteri itu, See berkata beliau sama sekali tidak bimbang jika itu akan memberi imej negatif kepada peniaga gerai di Jalan Alor.

“Jalan Alor sudah menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong,” katanya.

“Tetapi kami masih tidak mahu hanya disebabkan beberapa peniaga, ia menjejaskan yang lain.”

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil KL Ang Say Tee berkata satu lagi tarikan pelancong utama di bandar ini, Chinatown di Petaling Street, peniaga yang menggunakan amalan salah seperti mengenakan harga yang tinggi kepada pelancong akan dipantau.

“Kami tidak memerlukan publisiti negatif walaupun Petaling Street menarik pengunjung selama lebih satu abad.”

Ang mendakwa 99% peniaga di Petaling Street adalah jujur dan tidak terlibat dalam amalan haram dan tidak beretika.

“Mungkin hanya 1% berbuat demikian demi keuntungan segera.”

Ang berkata beliau mengalu-alukan pelancong asing dan tempatan agar memfailkan aduan jika berasa mereka dikenakan bayaran berlebihan untuk apa sahaja.

Aduan boleh difailkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ahli Parlimen Kuala Lumpur Fong Kui Lun, atau persatuan itu.

“Kami akan bertindak segera,” katanya jika aduan itu dibuat kepada persatuan itu.

Beliau berkata mereka akan menasihati peniaga terbabit.

“Sekiranya peniaga masih tidak mengendahkan nasihat itu, kami kemudian akan menulis kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meminta lesen perniagaan peniaga itu ditarik balik.

“Itu akan menghalannya daripada beroperasi di Petaling Street.”

Boon Kok Choon, ketua unit aduan Gabungan Persatuan Penjaja Selangor dan Kuala Lumpur, berkata salah satu taktik yang sering digunakan peniaga yang berakhir dengan pertikaian ialah apabila memberitahu pelanggan agar “makan dulu dan bayar kemudian”.

“Peniaga tidak sepatutnya melakukan perkara ini,” katanya.

“Peniaga sebaliknya perlu memaklumkan pelanggan mengenai harga semasa membuat pesanan mereka.”

Boon berkata banyak aduan mengenai caj berlebihan adalah berkaitan harga yang tidak telus.

Beliau menasihatkan pengunjung sekiranya mereka menghadapi masalah ini, mereka perlu mengambil gambar dan mengemukakan aduan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan bukannya menyiarkan keluhan di akaun media sosial mereka.

“Walaupun siaran media sosial boleh mewujudkan perbincangan secara mendadak, ia berkesan untuk membuatkan peniaga tidak bertanggungjawab itu menghentikan sementara apa yang mereka lakukan.

“Selepas semuanya reda, mereka akan menipu pelanggan kembali.

Pada 13 Oktober, Tiong dalam catatan di akaun Facebook miliknya berkata kenaikan harga memberi kesan negatif kepada Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang popular.

Selain menjejaskan kepentingan pelancong, ia juga mencemarkan nama baik industri pelancongan Malaysia, tambahnya.

Beliau kemudian merayu kepada persatuan dalam industri pelancongan untuk membantunya dalam menangani isu itu. – 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen