PAS perlu cermin diri sendiri, kata Fahmi


Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata PAS boleh dikatakan sebagai “penggempar” terutamanya menjelang pilihan raya negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

PAS seharusnya mencermin diri sendiri kerana melabelkan pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau menerima pelbagai ancaman berikutan pendirian teguhnya dalam perjuangan rakyat Palestin adalah satu kenyataan penggempar, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata selaku sebuah parti, PAS juga boleh dikatakan sebagai  “penggempar” terutamanya menjelang pilihan raya negeri.

“Anda tahu PAS selaku sebuah parti juga ada membuat kenyataan yang diperbesar-besarkan. Kami menyaksikan sejak beberapa bulan terutamanya ketika pilihan raya negeri bagaimana PAS mendakwa mengundi parti-parti tertentu akan mengakibatkan huru-hara di seluruh negara.

“Itu tidak berlaku…jadi saya fikir beliau (Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan) patut meletakkan cermin dekat ke mukanya dan melihat betul-betul kepada dirinya dan partinya,” beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan PAS memetik Takiyuddin sebagai berkata pendedahan Anwar adalah kenyataan seorang penggempar yang pelik dan melucukan.

Pada Selasa Anwar mendedahkan beliau menerima pelbagai “ancaman” dari negara-negara Barat berikutan pendirian tegas Malaysia yang menyokong dan komited mempertahankan hak rakyat Palestin selain daripada kritikan yang dilontarkan terhadap Kerajaan Israel. – Bernama, 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen