Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


Ringgit susut ke paras 4.7855/7885 berbanding dolar AS daripada paras 4.7780/7830 semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

RINGGIT susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini susulan lonjakan hasil bon negara maju itu di tengah-tengah kebimbangan kadar faedah AS kekal tinggi bagi tempoh lebih lama.

Pada 6 petang ringgit susut ke paras 4.7855/7885 berbanding dolar AS daripada paras 4.7780/7830 semalam.

Indeks Dolar AS semalaman meningkat kepada 106.27 dipacu oleh pengukuhan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan negara maju itu yang dilihat mendorong Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk menaikan kadar faedah menjelang mesyuaratnya pada akhir bulan ini.

Di peringkat tempatan ringgit bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7847/7883 daripada 5.7905/7965 pada akhir urus niaga semalam, naik berbanding yen Jepun kepada 3.1838/1860 daripada 3.1866/1902 dan meningkat berbanding euro kepada 5.0468/0500 daripada 5.0494/0547.

Selain itu ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean lain kecuali bagi dolar Singapura yang menyaksikannya susut ke paras 3.4900/4925 daripada 3.4871/4910 semalam.

Unit tempatan itu juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1952/2097 daripada 13.1960/2153, naik berbanding rupiah Indonesia pada 300.5/300.9 daripada 301.0/301.5 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41. – Bernama, 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen