Backbencher pastikan Perikatan kekal Terengganu, kata pengerusi


Diyana Ibrahim

Backbencher Terengganu boleh mengkritik secara berfakta dalam memainkan peranan semak dan imbang, kata pengerusinya Ahmad Shah Muhamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2023.

KELAB penyokong kerajaan negeri (backbencher) Terengganu boleh mengkritik secara berfakta dalam memainkan peranan semak dan imbang, kata pengerusinya Ahmad Shah Muhamed.

Adun Bandar itu memberitahu The Malaysian Insight demikian bagi mengulas pandangan skeptikal masyarakat umum ke atas kemampuan kelab penyokong itu untuk menjalankan fungsi tersebut.

Beliau mengakui masyarakat sangsi dengan kemampuan berkenaan kerana Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan selepas menang kesemua 32 kerusi dalam pilihan raya negeri Ogos lalu.

Ahmad Shah bagaimanapun yakin proses semak dan imbang dapat dilakukan memandangkan kerajaan negeri menyatakan komitmen terbuka dengan peranan backbencher.

“Memang ini cabaran terbesar kita. Orang nampak susah untuk percaya, bolehkah kita kritik parti sama sendiri?

“Bagi kami mudah sahaja selagi mana perkara tersebut berdasarkan perkara betul dan benar mengikut prinsip undang-undang dan telus. Kalau kerajaan sampai situ tidak perlu kita pertikaikan.

“Tapi kalau kita proses itu tidak sampai tahap maka kita ambil peranan. Yang penting kena ada cara, nak mengkritik kena ada fakta,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Tambahnya, kelab penyokong itu perlu menjalankan fungsi berkenaan untuk memastikan kerajaan tidak ditolak pengundi semula dalam pilihan raya seterusnya.

“Kalau kerajaan buat salah kerajaan kita diri akhirnya dalam pilihan raya akan datang kita akan kalah.

“Jadi untuk pastikan PAS diterima rakyat sehingga PRU Backbencher kena main peranan untuk membaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai proses menilai prestasi kelab itu, Ahmad Shah berkata belum ada perancangan  untuk menetapkan sebarang tanda aras secara rasmi buat masa sekarang.

Ini katanya, masih terlalu awal untuk menilai prestasi Backbencher memandangkan sidang DUN sulung selepas pembentukan kerajaan negeri baru sahaja bermula pada Oktober lepas.

“Bagi kita tidak terikat dengan sebarang penilaian Indeks prestasi utama (KPI) secara rasmi. Kalau ada pun yang pantau itu dari parti.

“Sebab apa yang kita mahu backbencher boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan menjamin supaya tindakan kerajaan betul,” katanya.

Ahmad Shah Muhamed yakin proses semak dan imbang dapat dilakukan memandangkan kerajaan Terengganu menyatakan komitmen terbuka dengan peranan backbencher. – Gambar Facebook, 27 Oktober, 2023.

Katanya, ahli kelab itu tidak akan takut untuk menyuarakan kebenaran dan menegur kelemahan biarpun mereka di pihak kerajaan, walaupun bukan sebagai pembangkang.

“Backbencher peranannya bukan sebagai pembangkang. Kalau rakyat nak lihat wakil rakyat kita terjerit- jerit di DUN semata-mata nak suarakan isu ia tidak akan berlaku.

“Sebab kita ada pendekatan kita iaitu membangkit isu dengan berhemah dan berfakta.

“Tapi saya boleh beri jaminan setiap ahli kita tidak akan takut untuk menyuarakan satu isu. Dan saya pasti di pihak kerajaan negeri, menteri besar begitu juga.

“Mereka akan terbuka menerima teguran kerana itulah proses demokrasi sebenar,” katanya.

Ahmad Shah dilantik sebagai pengerusi kelab tersebut oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar awal September lepas apabila DUN tidak diwakili mana-mana pembangkang.

Bekas timbalan exco itu juga akan mengisi kerusi ketua pembangkang yang dahulunya diduduki Ahmad Said dalam sidang DUN.

Ikut model pembangkang di Parlimen

Mengulas lanjut, Ahmad Shah berkata kelab itu akan mengikut kaedah sama seperti pembangkang di Parlimen yang melantik ahli di portfolio bayangan bagi menjaga setiap kementerian.

“Mereka diberi tugasan untuk jadi kementerian masing-masing.

“Sebagai contoh kementerian kesihatan, jadi ada tiga ahli Parlimen pembangkang yang diletakkan untuk memantau portfolio tersebut.

“Jadi di Terengganu sama, kita ada 21 ahli Backbencher akan bahagikanlah untuk pantau portfolio yang diberikan,” katanya.

Biarpun begitu, kelab penyokong itu tidak merancang untuk melantik pemerhati luar di mana-mana portfolio, kata Ahmad Shah.

Wakil rakyat dua penggal itu sedar beliau menggalas cabaran yang sangat besar apabila diberi tanggungjawab sebagai pengerusi kelab penyokong kerajaan. – 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen